KUALA LUMPUR – Seorang penganggur dijatuhi hukuman mati selepas didapati bersalah membunuh seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun sebelum membuang mayatnya di hutan dekat Gunung Raya, Langkawi, Kedah, enam tahun lalu.
Mahkamah Tinggi Alor Setar menjatuhkan hukuman itu terhadap Ramlan Abdul Rashid, 43, selepas mensabitkannya atas pertuduhan membunuh Nur Aisyah Aleya Abdullah di antara pukul 9 pagi dan 10 pagi, 23 Februari 2019 di kuarters Hospital Langkawi, Kuah.
Hakim Evawani Farisyta Mohammad berpuas hati, pakar patologi forensik tidak dapat memastikan punca kematian mangsa kerana hanya tengkorak dan dua gigi ditemukan di tempat mayatnya dibuang.
Namun, ujar hakim itu, keterangan ikut keadaan yang dikemukakan di mahkamah melimpah ruah dan jelas menunjukkan tindakan sengaja tertuduh terhadap kanak-kanak itu sehingga membawa maut.
“Mahkamah mendapati tertuduh bertanggungjawab di atas kematian kanak-kanak itu termasuk sejarah penderaan fizikal dengan memberinya makanan bercampur cili, menjadi orang terakhir dilihat bersamanya, membawa polis ke tempat penemuan mayat, membohongi ibunya tentang keberadaan mangsa dan melarikan diri dari Langkawi selepas laporan polis dibuat,” ujar beliau.
Hakim Evawani turut berpuas hati, mahkamah meneliti keseluruhan fakta kes terutamanya mangsa merupakan seorang kanak-kanak kecil yang tidak berdosa yang diletakkan dalam jagaan tertuduh.
“Mahkamah turut berpuas hati, kematian mangsa akibat kecederaan kerana dipukul dan didera oleh tertuduh secara berpanjangan.
“Tertuduh juga tidak mempunyai perikemanusaiaan hingga sanggup membuang mayat kanak-kanak itu di kawasan hutan di Gunung Raya, Langkawi tanpa diuruskan secara sepatutnya berdasarkan tuntutan agama.
“Mahkamah juga mendapati bahawa tertuduh seorang `opportunist ‘ atas kelemahan isteri ataupun wanita untuk dikawal sesuka hati selain tidak menunjukkan rasa kesal mahupun insaf sepanjang perbicaraan dijalankan,” ujarnya dalam penghakiman bertulis bertarikh semalam yang diperolehi pihak media menerusi laman web mahkamah hari ini.
Pada bulan November 2018, ibu mangsa (pengadu kes) bersama anak perempuannya (mangsa) mengikut tertuduh ke rumahnya di kuaters berkenaan dan menetap di situ selama kira-kira dua bulan dan bekerja di sebuah kedai makan.
Menurut keterangan kes, ibu mangsa yang berulang alik ke tempat kerja meninggalkan Nur Aisyah dalam jagaan tertuduh selama dua bulan.
Ibu mangsa membuat laporan polis selepas gagal menemukan anak perempuannya ketika melawat rumah tertuduh pada Februari 2019. Tertuduh memberi alasan mangsa telah diserahkan kepada orang lain untuk dijaga namun enggan memberitahu siapa atau dimana anaknya menetap.
Semasa soal siasat polis, tertuduh membawa pegawai dan pakar forensik ke kawasan hutan di Gunung Raya, di mana mereka menemukan tengkorak kanak-kanak itu dan dua gigi kecil.
Pakar forensik tidak dapat menentukan punca kematian yang tepat kerana keadaan mayat, tetapi keterangan saksi membantu menentukan keadaan.
Isteri tertuduh yang merupakan seorang jururawat, memberi keterangan bahawa dia mendengar kanak-kanak itu menangis pada malam 23 Februari, namun tangisan itu berhenti secara tiba-tiba tidak lama kemudian.
Apabila dia masuk ke dalam bilik, dia mendapati mangsa terbaring dalam keadaan bogel dan tidak bergerak di atas tikar dengan tangan kakinya kaku.
Dia juga menyedari kanak-kanak itu dalam keadaan tidak bermaya dengan kesan melecur rokok pada paha kanak-kanak itu dan lebam pada kedua-dua kakinya.
“Apabila dia bertanya kepada suaminya apa yang berlaku, tertuduh mendakwa kanak-kanak itu mengalami sawan.
“Di mahkamah, tertuduh mendakwa kanak-kanak itu sakit dan kematiannya berpunca daripada demam dan kesan sampingan ubat anti-muntah,” demikian menurut penghakiman tersebut. Bagaimanapun versi pembelaan ditolak oleh mahkamah.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Rizal Fadzil manakala peguam Ai Cha Ran mewakili tertuduh. – MalaysiaGazette
















