JOHOR BAHRU – Kenyataan Ahli Parlimen Pasir Mas, Fadhli Shaari yang mempersenda usaha Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam rundingan damai antara Thailand-Kemboja boleh menjejas hubungan diplomatik dengan negara jiran.
Ketua-ketua cabang PKR Johor dalam satu kenyataan bersama-sama, menyifatkan kenyataan Fadhli sebagai tidak matang dalam berpolitik dan memburukkan imej negara.
“Ia juga merupakan satu penghinaan terhadap institusi tertinggi negara dan boleh menjejaskan hubungan diplomatik dengan negara jiran.
“Berikutan itu satu laporan polis oleh Ketua-ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor dibuat agar siasatan segera dijalankan di bawah peruntukan undang-undang yang berkaitan.
“Ini termasuk Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan yang boleh mencetuskan gangguan awam serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” menurut kenyataan tersebut.
Kenyataan bersama-sama itu melibatkan ketua-ketua cabang iaitu Mohd Fakharuddin Moslim (Tenggara), Md Ysahrudin (Bakri), Abdul Saad Salleh (Sri Gading), Khairil Adanan (Mersing), Arthur Chiong Sen Sern (Kulai), Mohd Shahrun Radzi (Sembrong), Rosman Tahir (Ayer Hitam), Roselin Nona (Muar), Haniff Hosman (Pontian), Sayful Ariffin Abdul Karim (Tanjung Piai), Ibrahim Mohd Nor (Kota Tinggi) dan Ravi Sankar (Labis),
Ini termasuk Hishamuddin Misrin (Parit Sulong), Murad Jailani (Pasir Gudang), Kalytas Chandrahasan(Kluang), Subramani Chami (Pagoh), Dr Mazlee Malik (Simpang Renggam), Shamala Sham (Iskandar Puteri), Shamala Vasudevan (Segamat), Prakash Maniam (Tebrau), Faezuddin Puad (Pulai) dan Pang See Keong (Sekijang).
Mereka menggesa pihak berkuasa untuk mengambil tindakan tegas dan tidak berkompromi terhadap sebarang bentuk kenyataan berbaur penghinaan, provokasi dan fitnah, lebih-lebih lagi apabila datang daripada seorang ahli Parlimen.
Pihaknya juga menyeru rakyat agar menolak politik kebencian dan penghinaan yang tidak membawa sebarang nilai tambah kepada kemajuan negara.
PKR dan seluruh kepimpinan di Johor katanya, akan terus mempertahankan maruah Perdana Menteri dan menjunjung tinggi prinsip kesopanan serta kesusilaan dalam budaya politik tanah air.
“Politik matang, beradab dan berprinsip adalah jalan ke hadapan bagi Malaysia yang lebih maju dan bersatu,” ujarnya.
Terdahulu Fadhli menerusi Facebook miliknya memuat naik gambaran tiga watak binatang iaitu kambing dan biri-biri yang sedang berebut pisang sementara monyet sebagai hakim dalam media sosialnya.
Dalam hantaran tersebut, beliau menyatakan bahawa kambing dan biri-biri seeloknya tidak perlu kepada monyet untuk menjadi orang tengah dalam kes berebut pisang serta turut meletakkan artikel berhubung pergolakan Thailand-Kemboja di sebelah gambar berkenaan.
Isnin lalu, Thailand dan Kemboja bersetuju melaksanakan gencatan senjata tanpa syarat hasil usaha Malaysia dan Anwar yang menjadi orang tengah dalam isu tersebut.
Menurut kenyataan bersama Malaysia, Thailand dan Kemboja, ini merupakan langkah penting untuk mengurangkan ketegangan dan mengembalikan kemanan dan keselamatan kedua-dua belah pilhak.- MalaysiaGazette
















