Danish Hairudin
Danish Hairudin

KUALA LUMPUR – Kejayaan Kerajaan Madani menurunkan tarif eksport Malaysia ke Amerika Syarikat daripada 25 peratus kepada 19 peratus sebagai bukti keberkesanan diplomasi ekonomi yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Danish Hairudin berkata, langkah itu membuktikan kepimpinan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) bukan sahaja tegas dalam mempertahankan kepentingan nasional, malah dihormati di pentas antarabangsa.

“Ini adalah kemenangan penting dalam diplomasi ekonomi negara yang sekali lagi membuktikan bahawa kepimpinan YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim bukan sahaja tegas mempertahankan kepentingan nasional, malah dihormati di pentas antarabangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Danish, pengurangan tarif tersebut membuka peluang lebih luas kepada syarikat tempatan untuk menembusi pasaran antarabangsa selain meningkatkan keyakinan pelabur terhadap daya saing industri negara.

“Langkah ini bukan sahaja membuka ruang pasaran lebih luas untuk syarikat Malaysia, tetapi turut melonjakkan keyakinan pelabur asing terhadap daya saing industri kita.

“Ia juga membuktikan bahawa Kerajaan Madani tidak tunduk kepada tekanan luar, sebaliknya berunding dengan prinsip dan strategi yang berpaksikan kepentingan rakyat,” katanya.

Jelas beliau, rundingan itu dicapai tanpa mengorbankan dasar utama negara termasuk pelan transformasi industri, perlindungan terhadap perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta agenda pembangunan hijau dan teknologi tinggi.

“Lebih penting, tarif ini diturunkan tanpa negara perlu mengorbankan dasar-dasar penting seperti pelan transformasi industri, perlindungan kepada PKS serta agenda pembangunan hijau dan teknologi tinggi,” ujarnya.

AMK turut menyifatkan kejayaan itu sebagai bukti hasil perubahan budaya pentadbiran negara yang lebih profesional dan berpandangan jauh.

“Kejayaan ini adalah manifestasi kepada perubahan budaya pentadbiran yang lebih profesional, fokus dan berpandangan jauh. Ia menunjukkan hasil daripada dasar yang konsisten, komitmen kepada reformasi struktur, dan hubungan antarabangsa yang dimanfaatkan demi kemakmuran rakyat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru golongan muda terutama usahawan dan pengeksport agar memanfaatkan peluang hasil keputusan itu bagi memperluas capaian pasaran global.

Malaysia dikenakan tarif 19 peratus berdasarkan perintah eksekutif yang ditandatangani Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, semalam.

Dokumen pelarasan lanjut kadar tarif timbal balas yang ditandatangani Trump bertarikh 31 Julai 2025 itu sudah dimuat naik di laman sesawang White House. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast