KUALA LUMPUR – Kritikan terbuka terhadap parti adalah lumrah dalam demokrasi, kata Ahli Seumur Hidup Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Megat Muhammad Faris.
Namun, adalah tidak adil untuk membandingkan kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan tokoh-tokoh dalam Pakatan Harapan yang pernah ditolak rakyat.
“Tan Sri Muhyiddin memimpin negara pada detik paling mencabar termasuk krisis pandemik Covid-19. Beliau berjaya menyelamatkan nyawa, memulihkan ekonomi dan menstabilkan pentadbiran negara ketika banyak pihak sibuk bermain politik.
“Beliau bukan mendambakan jawatan atau kuasa, sebaliknya sentiasa meletakkan kepentingan rakyat dan negara di hadapan,” katanya dalam kenyataan sebagai reaksi terhadap tulisan Mahadzir Ibrahim di sebuah laman portal, baru-baru ini.
Menurut Megat Muhammad, apa yang sepatutnya diinsafi oleh Bersatu bukanlah kesilapan Pakatan Harapan, tetapi kesilapan UMNO apabila mengangkat seorang presiden yang tidak mempunyai hubungan emosi dengan rakyat dan mempunyai imej antagonis dalam fikiran masyarakat.
“Akibatnya, UMNO dihumban oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum yang lalu. Hubungan emosi atau emotional connection adalah kriteria penting dalam kepimpinan politik.
“Dalam kalangan tokoh hari ini, Tan Sri Muhyiddin adalah pemimpin yang paling dekat dengan imej keprihatinan. Ini bukan sekadar retorik tetapi dibuktikan melalui dasar-dasar semasa pemerintahannya sehingga diberi gelaran ‘Abah’ oleh rakyat,” ujarnya.
Tambah beliau, seorang pemimpin parti Melayu perlu memiliki ketokohan dan kredibiliti yang tinggi untuk menjadi pelindung kepada masyarakat Melayu serta mempunyai imej yang dipercayai oleh rakyat.
“Jangan kerana tersalah memilih Presiden, Bersatu pula yang dihumban ke dalam longkang,” ujarnya.
Beliau turut menolak pandangan bahawa Bersatu terlalu bergantung kepada presidennya.
“Bersatu sedang berkembang dengan barisan pelapis yang aktif, berwibawa dan komited. Mengangkat pelapis tidak bermakna kita menolak pemimpin yang telah berjasa. Kepimpinan Tan Sri Muhyiddin bukan beban, ia adalah aset.
“Membina parti bukan tanggungjawab satu batang tubuh sahaja. Ia tanggungjawab bersama – dari pimpinan tertinggi hingga ke akar umbi. Setiap ahli perlu berperanan dan menyumbang kepada hala tuju parti,” katanya lagi.
Megat Muhammad turut menegaskan bahawa, kesetiaan terhadap institusi presiden tidak bermakna menolak prinsip demokrasi.
“Ia tanda kematangan dan keutuhan berorganisasi. Sebaliknya, retorik perubahan tanpa hala tuju hanya akan melemahkan parti dari dalam,” ujar beliau.
Katanya, Bersatu kekal berpijak pada realiti rakyat serta rekod kepimpinan yang kukuh dan Muhyiddin kekal sebagai tokoh utama yang masih diperlukan dalam menghadapi cabaran PRU-16 akan datang. – MalaysiaGazette
















