Johari dan Khaled Nordin dalam Mesyuarat UMNO Bahagian Pasir Gudang di Dewan Muafakat Taman Mawar, Pasir Gudang, hari ini.

PASIR GUDANG – Kadar tarif eksport 19 peratus yang dikenakan Amerika Syarikat (AS) terhadap komoditi negara, termasuk kelapa sawit masih dianggap kompetitif.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kadar berkenaan tidak membebankan sekiranya dibandingkan dengan negara lain di rantau ASEAN.

“Malaysia masih berada pada kedudukan yang baik daripada segi persaingan, memandangkan kadar tarif itu adalah antara yang terendah dalam kalangan negara serantau.

“Paling penting tarif 19 peratus ke atas Malaysia oleh Amerika Syarikat (AS), antara terendah dalam negara-negara dalam ASEAN.

“Walaupun Indonesia pengeluar kelapa sawit terbesar dunia, republik itu turut dikenakan kadar tarif yang sama.

“Kalau kita tengok dalam konteks komoditi kelapa sawit, Indonesia adalah pengeluar besar, nombor satu dunia, kita pula nombor dua dunia.

“Namun Indonesia pun dikenakan 19 peratus seperti Malaysia, jadi tiada masalah, maknanya kita ‘fair fight’ lah,” katanya yang juga Naib Presiden UMNO dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Pasir Gudang di Dewan Muafakat Taman Mawar di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang juga Naib Presiden UMNO.

Semalam, Malaysia dilaporkan dikenakan tarif 19 peratus berdasarkan perintah eksekutif yang ditandatangani Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Dokumen pelarasan lanjut kadar tarif timbal balas yang ditandatangani Trump bertarikh 31 Julai 2025 itu sudah dimuat naik dalam laman sesawang Rumah Putih.

Sebelum ini, Trump menetapkan kadar tarif 25 peratus untuk Malaysia tetapi difahamkan, perbualan telefon antara beliau dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam mungkin antara faktor yang mendorong pengurangan tarif itu.

Mengulas lanjut, Johari yang juga Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkata, setakat ini tiada isu besar timbul terhadap eksport komoditi negara berkaitan penetapan kadar tarif berkenaan.

“Malaysia (eksport komoditi) masih mampu bersaing secara adil di pasaran antarabangsa.

“Saya tak nampak masalah setakat ini atas penetapan tarif 19 peratus oleh AS terhadap eksport komoditi negara kita,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast