Mohammad Rizan Hassan

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (BELIA MAHIR) menyambut baik pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang telah diumumkan khususnya terhadap komitmen kerajaan dalam memperkasa ekosistem TVET negara.

Presiden Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (BELIA MAHIR), Mohammad Rizan Hassan berkata, momentum TVET perlu dikekalkan.

“Pada tahun 2024 sahaja seramai 212,000 pelajar baharu telah mendaftar dalam program TVET termasuk pelajar tahfiz dan huffaz.

“RMK13 meletakkan hala tuju penting dalam menaik taraf pensijilan TVET ke tahap setara pengajian tinggi, sejajar dengan matlamat melahirkan tenaga kerja mahir dan berpendapatan tinggi,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Mohammad Rizan, BELIA MAHIR menyeru agar semangat itu disemarakkan, dengan memastikan akses menyeluruh kepada semua golongan belia terutamanya Belia NEET (Not in Employment, Education and Training).

Selain itu, pendekatan latihan perlu lebih dinamik dan disesuaikan dengan keperluan industri. Antara bentuk latihan yang wajar diperkasakan dan diberi pembiayaan ialah Teaching Factory (TEFA), Work-Based Learning (WBL) dan Program Perantisan (Apprenticeship).

“Di samping itu, pensijilan profesional perlu disepadukan bersama Persijilan Kemahiran Malaysia (SKM) bagi mengelakkan pembaziran masa dan kos. Penyatuan ini akan memastikan pelatih memiliki kompetensi yang memenuhi standard industri dan antarabangsa secara serentak,” katanya.

Dana Latihan dan pembiayaian TVET juga perlu diselaraskan di Bawah pengurusan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) dan diselaraskan oleh Majlis TVET Negara.

“Ini bagi mengelakkan pertindanan pelaksanaan antara 12 kementerian yang terlibat dalam TVET serta memastikan ketelusan, keberkesanan dan impak yang maksimum kepada pelatih,” ujarnya.

RMK13 merupakan peluang terbaik untuk memperkasa dan memperbaharui peranan PTPK, katanya.

BELIA MAHIR mencadangkan agar PTPK dijenamakan semula sebagai National TVET Fund dengan fungsi yang lebih luas dan strategik meliputi pembiayaan peralatan latihan dan pembangunan bengkel pintar (smart labs), Geran mobiliti untuk latihan luar negara, insentif kepada syarikat yang melatih dan menggaji lepasan TVET, dana inovasi latihan bersama industri
PTPK bukan lagi hanya pemberi pinjaman tetapi pelabur kepada masa depan tenaga kerja negara.

“Kami di BELIA MAHIR kekal komited untuk bekerjasama rapat dengan kerajaan, Majlis TVET Negara, industri dan institusi latihan untuk memastikan setiap dasar dan pelaksanaan dalam RMK13 benar-benar memberi makna kepada masa depan anak muda berkemahiran negara.

“TVET bukan jalan kedua – ia adalah landasan utama membina bangsa pekerja yang berdaya saing,” kata Mohammad Rizan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast