Tun Faisal Ismail Aziz.

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mempersoalkan keberkesanan rundingan tarif perdagangan antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) yang diumumkan pada 1 Ogos dengan mendakwa Malaysia berada dalam kedudukan yang lemah berbanding negara jiran di Asia Tenggara.

Ketua Penerangannya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, Malaysia bersetuju memberi tarif sifar kepada 6,911 baris produk dari AS bersamaan lebih 61 peratus daripada keseluruhan 11,260 baris produk yang diminta oleh Washington.

“Ini bermakna, beribu-ribu produk AS, termasuk dari sektor makanan, pertanian dan industri akan menikmati pasaran Malaysia tanpa cukai import bermula 8 Ogos 2025,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebagai balasan, kata Tun Faisal, AS hanya menurunkan tarif ke atas produk Malaysia daripada sekitar 25 peratus kepada 19 peratus – pengurangan enam peratus yang disifatkan antara paling kecil dalam kalangan negara ASEAN yang turut berunding dengan Washington.

“Sebagai perbandingan, Vietnam berjaya merundingkan penurunan tarif sebanyak 26 peratus, Thailand sebanyak 17 peratus, manakala Indonesia dan Kemboja masing-masing mendapat pengurangan 13 dan 17 peratus,” katanya.

Tun Faisal turut mempersoalkan keputusan Putrajaya untuk membeli 30 pesawat Boeing bernilai AS$9.5 bilion (kira-kira RM40 bilion) sebagai sebahagian daripada pakej konsesi rundingan.

Katanya, ini menjadikan jumlah pembelian pesawat dari AS meningkat kepada 60 buah dalam tempoh dua tahun, dengan nilai keseluruhan mencecah kira-kira RM80 bilion.

“Negara jiran mendapat lebih banyak manfaat dengan kos politik dan ekonomi yang jauh lebih rendah, sementara Malaysia bukan sahaja memperoleh penurunan tarif yang kecil, malah membuka pasaran domestik secara besar-besaran dan menanggung komitmen fiskal tambahan,” katanya lagi.

Walaupun Malaysia memperoleh akses eksport bebas tarif ke AS, beliau berkata, imbangan keseluruhan rundingan itu lebih menguntungkan Washington berbanding Kuala Lumpur.

“Malaysia memberikan lebih banyak konsesi — termasuk tarif sifar ke atas produk AS dan pembelian ketara dalam sektor penerbangan berbanding apa yang diterima dalam bentuk pengurangan tarif eksport,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast