Anthony Loke Siew Fook.

KUALA LUMPUR – Selepas beberapa siri rundingan berprofil tinggi, kadar tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) ke atas produk keluaran Malaysia telah berjaya dikurangkan daripada 25 peratus kepada 19 peratus.

Menurut Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook, walaupun rakyat biasa mungkin tidak mengikuti secara dekat hal ehwal diplomatik, pencapaian ini membuktikan bahawa Malaysia kini diterajui oleh seorang pemimpin yang berwibawa dalam arena diplomasi antarabangsa.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah berjaya menampilkan Malaysia sebagai rakan yang dipercayai dalam aspek keselamatan serantau melalui pendekatan yang pragmatik, sabar dan membina,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Loke menjelaskan, pencapaian-pencapaian tersebut menunjukkan Malaysia sedang bergerak ke hadapan dengan hala tuju pentadbiran yang mantap dan berhemah dalam usaha untuk menonjolkan diri sebagai sebuah “negara kuasa pertengahan” yang dihormati di peringkat global.

Katanya, dalam suasana ketidaktentuan ekonomi global dan peningkatan dasar perlindungan perdagangan, keputusan penurunan tarif itu dilihat sebagai satu kejayaan penting hasil pendekatan strategik dan pragmatik kerajaan Malaysia, yang berpegang kepada rundingan diplomatik sambil meredakan ketegangan perdagangan dua hala.

Ujar beliau, pengurangan tarif tersebut dilihat sebagai penanda aras baharu hubungan perdagangan antara kedua-dua negara dengan Malaysia kini menikmati kadar tarif yang setara dengan negara-negara lain di rantau Asia Tenggara.

“Walaupun lebihan dagangan Malaysia dengan Amerika Syarikat lebih tinggi berbanding jiran serantau, kadar tarif semasa membuktikan bahawa Malaysia kekal kompetitif di mata Washington.

Pada masa sama beliau berkata, selaku Pengerusi ASEAN bagi penggal ini, Malaysia turut memainkan peranan penting sebagai pemudahcara dalam usaha rundingan damai antara Thailand dan Kemboja, satu lagi pencapaian diplomatik yang membuktikan kematangan peranan Malaysia di peringkat serantau.

“Difahamkan, Presiden Donald Trump juga telah mengesahkan kehadirannya ke Sidang Kemuncak ASEAN yang bakal berlangsung di Kuala Lumpur, satu penghormatan besar terhadap peranan Malaysia dalam memperkukuh kedudukan ASEAN sebagai sebuah blok serantau yang lebih utuh dan berpengaruh.

“Di bawah kepimpinan Kerajaan Madani, Malaysia dilihat berjaya membawa pendekatan berhemah dalam diplomasi serantau, sekali gus mengangkat semula falsafah ASEAN: “menyelesaikan masalah sendiri dengan cara sendiri”.

“Ini turut menyuntik nafas baharu kepada kerjasama dan dialog dalam kalangan negara-negara anggota,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast