Mohamed Khaled berucap dalam Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Gudang di Dewan Muafakat Taman Mawar, Pasir Gudang, hari ini.

JOHOR BAHRU – UMNO telah bekerjasama dengan parti pelbagai kaum sejak awal penubuhannya, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Jelasnya, ini termasuk kerjasama UMNO dan DAP dalam kerajaan Perpaduan ketika ini yang bukan satu perkara pelik kerana pernah diamalkan sebelum ini.

“Kerjasama dengan DAP juga tidak sesekali menyebabkan dasar dan polisi perjuangan UMNO iaitu menjaga kepentingan agama Islam dan masyarakat Melayu tergadai, sebaliknya hanya perubahan jajaran dan strategi politik.

“Ahli dan penyokong UMNO perlu sedar realiti semasa dan dinamik politik baharu bagi memastikan UMNO terus kuat dan kukuh menjelang pilihan raya umum (PRU) akan datang,” katanya.

Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang itu berkata demikian ketika berucap dalam Mesyuarat UMNO bahagian tersebut di Dewan Muafakat Taman Mawar di sini hari ini.

Turut hadir, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Setiausaha UMNO Johor, Datuk Abdul Halim Suleiman.

Mohamed Khaled berkata, saranan untuk UMNO bekerjasama dengan parti lain itu sudah lama disuarakan tetapi pada ketika itu tidak dilaksanakan.

“Sebenarnya ada pandangan dibuat sebelum PRU12 lagi agar UMNO bersikap lebih terbuka dan teroka kerjasama baharu untuk pastikan parti dan Barisan Nasional (BN) kekal dengan kekuatan untuk berjaya.

“Tetapi masa itu pandangan tersebut tidak diberi perhatian besar, saranan itu datangnya daripada Datuk Seri Johari Abdul Ghani ketika itu, dia seorang pemimpin yang mempunyai pandangan jauh dan berani suarakan pandangan tersebut.

“Jadi kalau ada pihak nak marah UMNO bekerjasama dengan siapa, marahlah Datuk Seri Johari Abdul Ghani,” katanya secara berseloroh disambut gelak ketawa perwakilan yang hadir.

Selain itu katanya, UMNO tidak pernah bertanding dalam PRU secara bersendirian sebaliknya sentiasa bekerjasama dengan pihak lain termasuk kaum lain untuk tubuh kerajaan, jadi itu bukan perkara baharu.

“Tiada mana-mana perikatan politik akan kekal sampai bila-bila, yang penting kita pastikan UMNO kukuh agar boleh tentukan kerjasama untuk tubuh kerajaan, kalau UMNO tidak kuat mcm mana kita nak tentukan penubuhan kerajaan.

“Jadi kita perlu pastikan kerjasama itu akan tambah kekuatan untuk UMNO, keberadaan kita dalam kerajaan hari ini sedikit sebanyak menambah lagi kekuatan dalam parti,” ujarnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast