GAMBAR HIASAN

KUALA LUMPUR – Seramai 35 banduan di Penjara Kajang ketika ini merupakan hufaz atau mereka yang berjaya menghafal sebanyak 30 juzuk al-Quran.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifudddin Nasution Ismail berkata, kesemua mereka berjaya bergelar hufaz hasil kerjasama Jabatan Penjara dengan Jabatan Agama Islam Negeri Selangor.

Menurut beliau, kejayaan melahirkan hufaz dalam kalangan banduan itu merupakan keberkesanan model sistem parol yang diamalkan secara tersendiri di negara ini.

“Amalan baik negara-negara dalam pengurusan penjara akan sentiasa menjadi rujukan kita.

“Sekarang ini sudah ada negara lain yang apabila mahkamah menjatuhkan hukuman, pesalah tidak dihantar terus ke penjara, tetapi ke komuniti. Memang ada negara yang sudah sampai ke tahap itu. Tetapi kita belum lagi.

“Pada masa sama, kita juga punya kekuatan tersendiri. Para hufaz di Penjara Kajang ini, mereka bukan calang-calang orang,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

SAIFUDDIN Nasution Ismail pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Saifuddin Nasution menjawab soalan tambahan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) yang bertanyakan negara yang menjadi contoh kepada sistem parol yang diamalkan Malaysia ketika ini.

Sementara itu, kepada soalan asal V.N. Sivakumar (PH-Batu Gajah) berkenaan keberkesanan sistem parol termasuk peluang pekerjaan kepada golongan banduan, Saifuddin Nasution berkata, setakat ini, seramai 7,051 banduan atau prospek ditawarkan pekerjaan di sebanyak 789 buah syarikat yang bekerjasama dengan Jabatan Penjara.

Jelasnya, kesemua mereka terlibat dalam bidang pekerjaan seperti perkhidmatan, perladangan, pembuatan, pertanian dan pembinaan.

Tambah beliau, pihaknya yakin dalam masa terdekat, jumlah prospek berkenaan akan meningkat kepada 8,500 orang susulan syarikat Guthrie bersetuju menawarkan sebanyak 644 lagi peluang pekerjaan kepada golongan berkenaan, diikuti Shopee (350 orang).

“Syarikat Guthrie bukan sahaja memberi peluang pekerjaan, malah mereka dilatih dan diberikan sijil menuai (harvesting certificate),” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui persepsi dalam kalangan masyarakat serta segelintir majikan untuk mengambil banduan bekerja masih menjadi isu utama yang menjadi kekangan untuk golongan itu kembali ke dalam komuniti.

Sehubungan itu, tambahnya, usaha berterusan perlu dilakukan ke arah meyakinkan masyarakat yang mana Jabatan Penjara bukan hanya tempat menghukum mereka yang disabitkan bersalah, tetapi juga merupakan tempat untuk mereka belajar dan meningkatkan kemahiran.

“Di penjara para banduan ini juga dilatih dengan program kemahiran TVET yang mana kita ada 35 institusi penjara yang menawarkan kemahiran TVET dan kita latih mereka sehingga berjaya mendapat Sijil Kemahiran Malaysia dan Sijil Kompetensi Pembinaan.

“Kita juga laksanakan program Program Upskilling Agro-Mas PEKA MADANI yang fokus kepada membina kemahiran mereka dalam bidang pertanian, penternakan dan perikanan.

“Kemudian kita juga laksanakan Program STEP@Industry bagi menyediakan prospek memasuki peluang kerja melalui latihan ini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa para majikan khususnya supaya tidak lagi mempunyai stigma untuk mengambil bekas banduan bekerja, malah majikan juga diberi pelbagai insentif termasuk pengecualian cukai dan sebagainya.  – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast