Sustainable Future Sdn Bhd (SF) diberi diberi tanggungjawab untuk mengendalikan operasi Pusat Mengumpul Sawit (PMS) di Felda Bukit Damar yang kini dikenali sebagai PMS Damar Berkat baru-baru ini.

KUALA LUMPUR: Sustainable Future Sdn Bhd (SF), sebuah syarikat bersekutu di bawah Koperasi Permodalan Felda Berhad (KPF) diberi tanggungjawab mengendalikan operasi Pusat Mengumpul Sawit (PMS) di Felda Bukit Damar yang kini dikenali sebagai PMS Damar Berkat.

Operasi ini merupakan sebahagian daripada pelan tindakan menyeluruh yang berlandaskan empat teras utama teknologi hijau,  sekali gus menjadikannya tapak perintis kepada pelaksanaan model pengurusan baharu berasaskan kelestarian, kecekapan serta teknologi masa hadapan.

Ini termasuklah penggunaan kenderaan elektrik perindustrian dan pengurusan logistik, pembangunan tenaga boleh diperbaharui dan sistem simpanan tenaga (BESS), pengurusan sisa bersepadu serta pelaksanaan kredit karbon menjelang 2026.

“Perjanjian ini membuka ruang untuk kami membina ekosistem hijau yang bukan hanya berdaya saing dan moden, malah membawa pulangan yang lebih tinggi kepada peneroka serta mengurangkan kebergantungan kepada sistem lama yang penuh ketirisan.

“Sebagai langkah awal, semua penghantaran buah tandan segar (BTS) di PMS Damar Berkat akan menggunakan lori elektrik (EV). Pergerakan kenderaan ini dipantau melalui sistem Fleet Management System (FMS) secara masa nyata bagi memastikan efisiensi logistik dan penjimatan tenaga yang optimum.

“Transaksi BTS juga kini dilaksanakan secara digital, menggantikan sistem lama yang terlalu bergantung kepada peraih luar dan sukar diaudit. Kaedah ini membolehkan pemantauan lebih telus serta pengesahan terus kepada peneroka tentang kuantiti dan harga yang diperoleh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, harga BTS yang ditawarkan lebih tinggi daripada pasaran luar, kerana pihaknya mahu peneroka mendapat pulangan lebih baik hasil mereka.

Dalam pada itu, SF turut membekalkan dan menyewakan jentera berat elektrik seperti dump truck, prime mover, wheel loader, excavator dan 4×4 pickup EV.

Perkhidmatan retrofitting turut disediakan untuk menukar jentera diesel kepada elektrik secara berperingkat, sejajar dengan sasaran pengurangan karbon dalam operasi ladang Felda.

Dalam masa yang sama, pembangunan tenaga boleh diperbaharui dipergiatkan melalui pemasangan lampu jalan solar serta pembinaan ladang solar bersepadu yang disokong oleh Battery Energy Storage System (BESS) yang fokusnya menjamin kestabilan tenaga bersih, terutama di kawasan luar bandar.

“Bagi pengurusan sisa pula, kami melaksanakan pendekatan holistik termasuk penggunaan EV Compactor Trucks untuk kutipan sisa dan pemprosesan sisa makanan melalui sistem pelupusan terkawal.

“Kerjasama bersama KPF membolehkan pelaksanaan semua ini berjalan dengan kemas dan tersusun dan kami percaya ianya mampu berjaya berasaskan prinsip hijau di peringkat nasional.

“Dengan pendekatan bersifat menyeluruh dan disokong oleh struktur pelaksanaan yang jelas, SF optimis sektor perladangan bakal beralih kepada sistem lebih cekap, mengikut piawaian Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari dan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia dalam mendepani cabaran iklim dan kehendak pasaran masa depan,” jelasnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast