KUANTAN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Chan Chun Kuang menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan ke atas sekumpulan pempengaruh yang memberikan nasi beserta tulang ayam yang telah dimakan kepada seorang gelandangan.
Chun Kuang berkata, kandungan video itu bukan sahaja tidak sensitif, malah memperlekehkan maruah insan lain dan tidak wajar sama sekali menjadikan penderitaan golongan terpinggir sebagai bahan hiburan atas nama ‘kebajikan’.
“Saya telah mengemukakan aduan rasmi kepada SKMM dan menggesa pihak berkuasa untuk menyiasat dan segera menurunkan kandungan tersebut bagi mengelakkan penyebaran lebih lanjut yang bakal terus mencemarkan nilai murni masyarakat.
”Namun penguatkuasaan sahaja tidak mencukupi. Kita semua perlu bermuhasabah,” katanya menerusi kenyataan pada hari ini.
Video yang tular itu dikecam oleh warganet kerana perbuatan itu memperlekehkan golongan tersebut.
Tegas beliau, fenomena seperti ini tidak berlaku dalam ruang kosong kerana ia lahir kerana wujudnya pencipta kandungan tidak beretika dan adanya permintaan daripada penonton yang ghairah terhadap kandungan sensasi dan kontroversi.
Lantaran itu, katanya, selagi kandungan sebegini terus mendapat sambutan dan ditonton, selagi itu ia akan terus dihasilkan.
Chun Kuang turut menyeru agar kerajaan memperkukuh pendidikan literasi digital, membina kesedaran dan menyemai budaya penciptaan kandungan yang beretika dan bermanfaat agar kandungan berkualiti dapat mengatasi kandungan yang mengejar populariti murahan.
”Menghormati setiap insan dan maruah mereka adalah tanggungjawab bersama. Jangan normalisasikan penghinaan,” katanya.
Terdahulu, tular sebuah video memaparkan tindakan sekumpulan pempengaruh memberikan nasi bersama tulang ayam yang telah dimakan kepada seorang gelandangan, sebelum kemudiannya menyerahkan set makanan lengkap. – MalaysiaGazette
















