Al-Sultan Abdullah berkenaan mengurniakan hadiah kepada pemenang di Majlis Jamuan Diraja dan pengurniaan hadiah sempena Kejohanan Sirkit Golf Piala Sultan Pahang 2025 di Kelab Golf Diraja Pahang pada semalam. Kredit: FB Kesultanan Pahang

KUANTAN – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah mengingatkan pemilik dan pengurus kelab golf di Pahang supaya menjaga kelab masing-masing dengan baik.

Baginda bertitah, sekiranya mereka tidak berminat menjaganya dengan baik maka adalah lebih wajar kelab golf itu ditutup sahaja.

”Tanah (kelab golf) itu boleh buat projek pembangunan lain yang mendatangkan manfaat lebih besar kepada Kerajaan Negeri dan rakyat.

“Saya nak pengurusan kelab-kelab yang ada buat lebih banyak program, pertandingan dan promosi untuk menarik lebih ramai pemain golf sama ada profesional atau amatur datang untuk bermain atau untuk tujuan latihan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook Kesultanan Pahang, hari ini.

Sementara itu, baginda berharap pemain-pemain yang menyertai Kejohanan Sirkit Golf Piala Sultan Pahang 2025 terus menyokong kelab-kelab golf di Pahang.

Al-Sultan Abdullah berharap kejohanan itu dapat diteruskan pada masa akan datang dan mampu menarik lebih ramai pemain.

“Tengku Ampuan Pahang juga mahu kelab-kelab golf yang ada buat pertandingan atau kejohanan khusus untuk pemain wanita sekaligus dapat mencungkil bakat golongan tersebut dalam sukan golf ini,” titah baginda.

Semalam, Al-Sultan Abdullah berkenan bercemar duli berangkat menyempurnakan Majlis Jamuan Diraja dan Penyampaian Hadiah Kejohanan Sirkit Golf Piala Sultan Pahang 2025 di Kelab Golf Diraja Pahang, di sini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast