Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari.

KUALA LUMPUR – Pembinaan Projek Perumahan Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) bagi warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kem Wardieburn dan Setapak yang melibatkan 7,374 unit kediaman akan dimulakan secara berperingkat bermula tahun 2026.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, projek tersebut merupakan antara usaha berterusan kementerian dalam menjaga kebajikan dan kualiti hidup anggota serta veteran ATM.

Ia sejajar dengan Pelan Strategik MINDEF 2021–2025 di bawah Teras Ketiga, iaitu Pelestarian Kesejahteraan Warga Kerja Pertahanan dan Veteran ATM.

“Program SASaR juga selaras dengan hasrat Kertas Putih Pertahanan yang menekankan aspek kebajikan melalui penyediaan perumahan mampu milik untuk anggota ATM yang sedang berkhidmat, kakitangan awam Kementerian Pertahanan dan veteran ATM,” katanya pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN- Tanah Merah) yang meminta penjelasan mengenai status terkini projek SASaR di Kem Wardieburn dan Kem Genting Klang, Setapak.

Menurutnya, sehingga kini hanya satu projek SASaR yang sedang berjalan, iaitu di Sungai Besi melibatkan pembinaan 3,500 unit pangsapuri, dan dijangka siap pada suku keempat tahun 2025.

“Dua lagi projek yang akan dilaksanakan ialah Projek SASaR Wardieburn dan Setapak yang melibatkan sebanyak 7,374 unit kediaman.

“Projek di Wardieburn yang berjumlah 974 unit pula dijangka bermula suku pertama 2026, manakala projek di Setapak sebanyak 6,400 unit akan bermula pada tahun 2030,” jelasnya.

Adly turut memaklumkan bahawa Projek SASaR Wardieburn telah memperoleh kelulusan Perintah Pembangunan bersyarat daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada 12 Disember 2024.

Dengan pelaksanaan ketiga-tiga projek tersebut, jumlah keseluruhan unit kediaman di bawah program SASaR akan mencecah 10,874 unit.

Inisiatif ini dilihat sebagai langkah penting dalam menyediakan kediaman selesa dan berkualiti kepada warga ATM yang selama ini banyak berkorban demi keselamatan negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast