Akhbar Satar
Akhbar Satar

KUALA LUMPUR – Seramai enam ahli Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) telah dilantik oleh Yang diPertuan Agong berkuat kuasa mulai 15 Julai 2025 hingga 14 Julai 2028.

Pelantikan tersebut atas nasihat Perdana Menteri mengikut Seksyen 13 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694).

Antara ahli LPPR berkenaan adalah, Datuk Seri Dr. Akhbar Satar yang juga bekas Presiden Persatuan Pemeriksa Fraud Bertauliah Malaysia dan bekas Presiden Transparency International Malaysia (TI-M).

Beliau juga merupakan mantan Presiden, Pertubuhan Integriti dan Governans Malaysia (MIG).

Turut dilantik, Datuk Seri Dr. Yusof Ismail yang juga mantan Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) Jabatan Perdana Menteri.

Mantan Timbalan Ketua Pengarah, (Operasi) Jabatan Perkhidmatan Awam, Datuk Zainal Azman Bin Abu Seman; Mantan Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pengurusan), Datuk Othman Semail; Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Datuk Dr. Narimah Awin dan Naib Canselor Universiti Kepimpinan dan Pengurusan Penguatkuasaan (ELMU), Datuk Dr. Mohd Kassim Noor Mohamed, kata SPRM menerusi kenyataan.

Menurutnya, Surat Cara Pelantikan diserahkan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki di Ibu Pejabat agensi berkenaan di Putrajaya hari ini.

Sebagai rekod, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din pada 2 Febuari lalu dilantik sebagai Pengerusi LPPR SPRM bagi tempoh tiga tahun sehingga 2 Febuari 2028.

Peranan utama LPPR adalah menasihati SPRM berhubung strategi, dasar dan apa-apa perkara berkaitan masalah rasuah di negara ini.

“Ketua Pesuruhjaya SPRM dilantik sebagai anggota ex officio sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Seksyen 13(2)(b) Akta SPRM 2009,” tambahnya.

Sehubungan itu, SPRM berharap lantikan berkenaan akan dapat membantu memenuhi harapan masyarakat terhadap kebebasan, kecekapan, keberkesanan, ketelusan dan akauntabiliti SPRM dalam penunaian fungsi-fungsinya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast