KUALA LUMPUR – Peguam penyanyi Datuk Amy Search iaitu Datuk M Reza Hassan memaklumkan sudah menghantar surat tuntutan (LOD) kepada Shila Amzah berhubung kontroversi yang tular bulan lalu.
Beliau berkata, peguam yang diwakili Shila bagaimanapun meminta waktu untuk tindakan selanjutnya.
“Kita baru hantar LOD tapi mereka minta waktu untuk mendapatkan arahan lanjut daripada Shila,” katanya memetik laporan mStar di sini hari ini.
Pada masa sama, M Reza tidak dapat berkongsi butiran terperinci mengenai tuntutan yang dibuat terhadap penyanyi itu.
“Saya tak boleh nak kongsi lagi. Kita tengok macam mana nanti,” katanya.
Pada 10 Julai lalu, Shila atau Nurshahila Amir Amzah, 35, telah membuat laporan polis mendakwa dirinya diserang oleh seorang penyanyi legenda.
Shila kemudiannya mengesahkan individu yang dimaksudkan ialah Amy iaitu bapa kepada pelakon Nabila Huda.
Pihak polis telah mengambil keterangan daripada kedua-dua belah pihak.
Hasil siasatan awal mendapati kejadian tersebut berpunca daripada rasa tidak puas hati Amy terhadap Shila yang didakwa mencampuri urusan keluarganya.
Kemudian pada 16 Julai lalu, Amy pula tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam dan disahkan oleh M Reza. – MalaysiaGazette
















