Oleh: Ismail Hashim Yahaya
DALAM dunia yang dipenuhi tanda dan imej, setiap tindakan kuasa besar bukan sekadar dasar tetapi jika dibaca dengan teliti ia merupakan satu isyarat. Penurunan tarif 19% oleh Amerika Syarikat (AS) ke atas Malaysia bukan hanya soal perdagangan atau angka eksport. Ia adalah peristiwa yang sarat makna yang membuka ruang tafsiran tentang kedudukan Malaysia dalam senario kuasa sejagat yang semakin rumit, berlapis dan kompleks.
Seperti semua isyarat dalam politik antarabangsa ia menunggu untuk ditafsir dan dalam tafsiran itulah terletak maksud kuasa sebenar. Penurunan tarif ini jika dibaca secara teknokratik mungkin kelihatan sebagai kejayaan rundingan perdagangan dua hala. Ia boleh dirangka sebagai bukti bahawa Malaysia semakin dihargai sebagai rakan dagang yang stabil dan berpotensi.
Namun dari sudut maksud tersirat tindakan atau langkah ini bukan hanya bersifat material tetapi juga simbolik. Ia adalah tanda yang membawa kepada pelbagai lapisan makna iaitu pengiktirafan, dominasi, kompromi atau bahkan manipulasi imej atau pengwajahan. Dalam hubungan ini kuasa tidak lagi beroperasi secara fizikal semata-mata.
Ia bergerak melalui tanda, imej dan penampilan luaran. Dalam dunia yang makna boleh digandakan, dikaburkan, atau dimatikan tidak keterlaluan jika dikatakan siapa yang mengawal tafsiran menjadi penentu sebenar kuasa. Penurunan tarif boleh menjadi tanda kejayaan diplomatik tetapi juga boleh dibaca sebagai tanda Malaysia masih berada dalam orbit kuasa yang menetapkan syarat dan batas.
Dalam dunia yang penuh dengan retorik kosong dan bentuk tanpa isi kejayaan boleh menjadi ilusi jika makna tidak dikawal. Malaysia dalam hal ini berdepan dengan cabaran untuk mengekalkan kedaulatan makna. Kedaulatan makna di sini merujuk kepada keupayaan sesebuah negara untuk mentafsir sendiri peristiwa dan tindakan antarabangsa mengikut acuan nilai, sejarah dan aspirasi nasionalnya dan bukan sekadar mengulang naratif kuasa luar.
Jika penurunan tarif ini ditampilkan sebagai hasil kebijaksanaan diplomasi yang berteraskan nilai maka ia menunjukkan kemandirian dalam memahami
dan mengolah makna hubungan antarabangsa. Diplomasi Malaysia khususnya dalam dekad terakhir telah menunjukkan kecenderungan ke arah pendekatan yang tidak konfrontatif tetapi berprinsip. Malaysia tidak tunduk kepada tekanan untuk menggugurkan dasar-dasar strategik seperti standard Halal, ekuiti Bumiputera atau prinsip keadilan ekonomi.
Sebaliknya ia mengekalkan maruah dalam berunding sambil membuka ruang kerjasama yang saling menghormati. Inilah bentuk diplomasi ketamadunan yang tidak hanya melihat keuntungan jangka pendek tetapi mempertahankan nilai dan maruah sebagai bangsa yang berakar pada sejarah dan berwawasan dalam hubungan antarabangsa.
Sebagai contoh dalam rundingan tarif baru-baru ini, Malaysia berjaya memastikan bahawa sebanyak 6,911 baris tarif tidak dikenakan cukai import oleh AS termasuk produk strategik seperti getah, minyak kelapa sawit, semikonduktor, dan farmaseutikal. Ini menunjukkan bahawa Malaysia bukan sekadar menerima syarat tetapi mampu memperjuangkan kepentingan industri tempatan sambil mengekalkan piawaian dan dasar domestik.
Lebih menarik, Malaysia turut menyenaraikan pembelian besar dari AS sebagai sebahagian daripada strategi rundingan. Pada Mac 2025, Malaysia Aviation Group (MAG) telah membuat tempahan sebanyak 30 pesawat Boeing 737 yang dijadualkan dihantar menjelang 2030. Walaupun pembelian ini adalah keputusan perniagaan yang dirancang lebih awal dan dibiayai oleh dana syarikat, ia digunakan secara strategik untuk
menunjukkan kepada AS bahawa Malaysia juga merupakan pembeli besar produk mereka.
Pendekatan ini membantu meyakinkan Washington untuk menurunkan tarif
eksport Malaysia daripada 25% kepada 19%. Namun, seperti yang diingatkan di atas kejayaan boleh menjadi sekadar imej yang dipapar dan canangk tanpa isi. Jika makna tidak dikawal, ia akan ditentukan oleh pihak luar.
Maka cabaran sebenar bukan hanya pada kadar tarif tetapi pada siapa yang mengawal tafsiran terhadapnya. Malaysia perlu tampil sebagai penafsir bukan sekadar objek tafsiran. Dalam tafsiran, terletak kuasa dan dalam kuasa tafsiran terletak kedaulatan makna. Contoh sejarah menunjukkan bahawa negara yang gagal mengawal tafsiran terhadap dirinya akan sentiasa menjadi objek dalam naratif kuasa besar.
Negara-negara di Global South sering kali ditafsir melalui lensa geopolitik Barat sebagai “bermasalah”, “tidak stabil”,mundur atau “perlu dibimbing”. Malaysia dengan sejarahnya yang panjang sebagai negara berdaulat, berbudaya dan berprinsip tidak boleh membiarkan dirinya ditafsir melalui lensa yang tidak mengenal akar dan jiwa bangsa. Kejayaan sebenar bukan hanya pada angka tetapi pada naratif yang kita bentuk daripadanya.
Malaysia mesti terus membina keupayaan tafsiran kerana dalam dunia yang semakin berlapis dan dipenuhi imej, makna adalah medan strategik yang paling halus. Di sinilah terletak maruah, kedaulatan dan masa depan. Di sinilah peranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tengku Zafrul Abdul Aziz menjadi kritikal. Anwar bukan sekadar pemimpin politik; beliau adalah penafsir zaman yang memahami bahawa diplomasi hari ini bukan hanya soal perjanjian dan angka, tetapi soal penguasaan makna.
Usaha beliau sebagai pengantara gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja menunjukkan bahawa Malaysia boleh menjadi suara damai yang bukan hanya didengar tetapi difahami dan dihormati. Dalam dunia yang sarat dengan konflik dan kekeliruan, keupayaan untuk menawarkan tafsiran yang bermaruah adalah bentuk kuasa yang paling berkesan. Tengku Zafrul pula dalam peranannya sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri telah menunjukkan bahawa strategi ekonomi juga boleh menjadi naratif kebangsaan.
Keputusan Malaysia untuk membeli pesawat Boeing bukan sekadar urus niaga tetapi satu isyarat bahawa Malaysia mampu menyusun semula imejnya di mata kuasa besar. Beliau memahami bahawa dalam rundingan perdagangan, imej dan niat adalah sebahagian daripada makna yang dirundingkan. Ini bukan soal membeli tetapi soal menafsirkan Malaysia sebagai rakan yang strategik dan bermaruah. Dalam konteks ASEAN dan dunia Islam, Malaysia mempunyai peluang untuk menjadi penafsir utama terhadap peristiwa-peristiwa antarabangsa yang melibatkan dunia membangun.
Dengan pendekatan yang berteraskan nilai, sejarah, dan prinsip, Malaysia boleh menawarkan naratif alternatif yang lebih adil, berperikemanusiaan, dan berbudaya. Penurunan tarif oleh AS, jika ditafsir dengan jernih boleh menjadi titik tolak kepada pembinaan naratif baharu yang lebih berdaulat dan bermaruah.
Akhirnya, diplomasi bukan hanya soal rundingan tetapi soal makna. Dalam dunia yang semakin dipenuhi citra dan penampilan luaran makna adalah kekuatan yang paling halus tetapi paling menentukan. Malaysia mesti terus menjadi penafsir yang berdaulat kerana dalam tafsiran terletak kuasa dan dalam kuasa tafsiran terletak maruah bangsa.

Penulis adalah penganalisis geopolitik dan hubungan antarabangsa
















