KLUANG – Seorang kanak-kanak maut akibat kecederaan dalaman di bahagian perut selepas terlibat kemalangan di Jalan Get, Paloh di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kejadian pukul 1.10 petang itu berlaku ketika Muhammad Harith Isyraf Yuzaini,12, menunggang sebuah motosikal dari rumah bapa saudaranya di Jalan Tengah, Paloh menghala ke kedai runcit di Pekan Paloh itu.
“Ketika sampai di Jalan Get, motosikal Yamaha 135LC ditunggangnya dikatakan hilang kawalan dan terbabas sebelum melanggar batu penghadang bahu jalan sebelah kanan.
“Akibat kejadian itu, mangsa yang berasal dari Desa Paya Mengkuang, Johor Bahru telah dihantar ke sebuah Klinik swasta di Kluang untuk mendapatkan rawatan dan ke sebuah lagi klinik swasta di Gelang Patah.
“Kanak-kanak itu kemudiannya dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru untuk menerima rawatan namun enggan pergi, sebelum dibawa pulang oleh bapanya ke rumah di kawasan Gelang Patah, Iskandar Puteri,” katanya melalui kenyataan hari ini.
Menurut Bahrin lagi, kanak-kanak itu kemudiannya disahkan meninggal dunia pada pukul 9 malam malam tadi ketika berehat di rumah.
Kematiannya disahkan oleh paramedik HSA.
Ujarnya, mangsa merupakan seorang pelajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Tiram Duku, Gelang Patah sebelum itu datang ke rumah bapa saudaranya di Paloh bersama keluarga untuk menziarahi satu kematian.
Kes akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, katanya.- MalaysiaGazette
















