Koh Ling Vian

KUALA LUMPUR – Pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) tidak akan menyebabkan universiti kehilangan dana seperti yang dibimbangi oleh sesetengah pihak.

Sebaliknya menurut Pengarah Biro Hal Ehwal Varsiti DAPSY Kebangsaan, Koh Ling Xian, kerajaan boleh merangka satu Akta Pendidikan Tinggi baharu yang lebih progresif bagi menjamin kesinambungan dana tanpa menjejaskan autonomi institusi pengajian tinggi.

Beliau memandang serius perbahasan oleh Datuk Seri Rafizi Ramli ketika di Dewan Rakyat semalam dengan menyatakan pihaknya mengaanggap  kenyataan Ahli Parlimen Pandan itu jelas bertentangan dengan prinsip asas reformasi institusi yang diperjuangkan oleh Pakatan Harapan (PH).

“YB Rafizi sendiri dalam perbahasan yang sama mencadangkan agar dana disalurkan terus kepada pelajar dan universiti diberikan autonomi penuh. Namun, mekanisme itu bercanggah dengan kuasa yang diberikan kepada menteri di bawah AUKU terutama dalam soal pelantikan naib canselor dan lembaga pengarah universiti.

“Bagaimana mahu melaksanakan ‘autonomi penuh’ jika AUKU masih membenarkan campur tangan politik?” soalnya dalam kenyataan hari ini.

Ling Xian mendakwa Rafizi ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) di Parlimen semalam menyatakan sokongannya bagi mengekalkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971.

Mengulas lanjut, beliau mengingatkan AUKU merupakan punca utama yang menyekat kebebasan akademik dan autonomi universiti di negara ini.

Malah, katanya, akta tersebut dikatakan mewujudkan budaya pentadbiran tertutup, mengekang suara mahasiswa serta menyempitkan ruang pemikiran kritikal di kampus.

“Masalah ketidakmampuan sistem pendidikan kita untuk melahirkan graduan yang diperlukan bagi membina ekonomi berkompleksiti tinggi seperti yang disebut sendiri oleh YB Rafizi adalah kesan langsung daripada kewujudan AUKU itu sendiri,” ujarnya.

Beliau turut mengulangi komitmen PH yang sejak sekian lama memperjuangkan pemansuhan AUKU.

Ujarnya, antara lima tawaran utama Angkatan Muda Haarapan (AMH) pada 2022 ialah komitmen untuk memansuhkan AUKU dan menggantikannya dengan undang-undang yang lebih adil serta demokratik.

Justeru, DAPSY mendesak agar Kerajaan Madani segera menubuhkan semula Jawatankuasa Khas Pemansuhan AUKU serta membentuk pasukan teknikal inklusif yang melibatkan mahasiswa, pensyarah, pakar akademik dan wakil masyarakat sivil.

“Akta baharu ini perlu merangkumi mekanisme peruntukan dana, jaminan autonomi institusi, hak mahasiswa untuk mengurus hal ehwal sendiri, kebebasan akademik serta perlindungan terhadap golongan akademik,” katanya.

Menurut Koh lagi, reformasi penting agar universiti tempatan mampu bergerak maju dan bersaing di peringkat global.

“DAPSY menyeru agar Kerajaan Madani menunjukkan komitmen jelas dan serius terhadap agenda reformasi pendidikan tinggi negara dengan memulakan langkah konkrit ke arah pemansuhan AUKU secara menyeluruh.

“Kita tidak boleh membiarkan keadaan ini terus melemahkan keyakinan mahasiswa progresif terhadap kesungguhan kerajaan,” tegasnya.

DAPSY, katanya, akan terus berdiri bersama mahasiswa dan semua pihak yang memperjuangkan kampus yang lebih bebas, terbuka dan demokratik.

“Sudah tiba masanya AUKU dimansuhkan dan digantikan dengan undang-undang yang benar-benar membawa universiti ke arah masa depan yang lebih progresif dan dinamik,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast