Bekas Setiausaha Agung Parti MUDA, Amir Hariri Abd Hadi bercakap kepada wartawan selepas menghadiri sebutan Kes berkenaan dengan Perhimpunan 'Mana Kapal Tempur Pesisir (LCS)' di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 5 OGOS 2025.

KUALA LUMPUR – Sebuah pertubuhan bukan kerajaan
(NGO), Mandiri sekali lagi mendesak kerajaan mengotakan janji untuk memansuhkan undang-undang drakonian termasuk Akta Hasutan.

Pengarah eksekutifnya, Amir Hariri Abdul Hadi berkata, pihaknya sudah mengemukakan memorandum kepada kerajaan minggu lalu agar menunaikan manifesto yang digariskan oleh Pakatan Harapan (PH).

Beliau yang juga bekas Setiausaha Agung Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) turut mahukan kerajaan mengadakan perbicangan dengan pemegang taruh termasuk NGO sebelum membuat sebarang keputusan.

“Sebelum pertukaran kerajaan pada 2018, satu jawatan kuasa teknikal ditubuhkan untuk membincangkan isu berkaitan undang-undang drakonian.

“Apabila undang-undang itu dilihat tidak selari dengan niat asalnya, ia perlu dipinda namun pindaan itu perlu dibuat dengan rujukan dan perbincangan dengan masyarakat.

“Tuntutan janji ini telah dibuat sekian lama malah Perdana Menteri turut mengulanginya dalam manifesto PH untuk meminda undang-undang drakonian termasuk memansuhkan Akta Hasutan,” ujar beliau kepada pihak media di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.

Amir Hariri ditemui selepas prosiding di Mahkamah Majistret berhubung perkembangan pendakwaan terhadapnya berkaitan akta perhimpunan aman.

Majistret Farah Nabihah Muhamad Dan menetapkan Jumaat ini bagi memutuskan sama ada bekas Setiausaha Agung Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) itu dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan berkaitan penganjuran perhimpunan aman.

Amir Hariri selanjutnya berkata, keputusan Jumaat ini membawa implikasi besar ekoran keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengisytiharkan Seksyen 9(5) tidak berperlembagaan.

Seksyen itu menghendaki penganjur memberikan notis lima hari untuk mengadakan perhimpunan aman.

Dalam kes berkenaan, Amir Hariri selaku penganjur, didakwa gagal memaklumkan kepada pegawai polis yang menjaga daerah Dang Wangi, lima hari sebelum mengadakan perhimpunan ‘Mana Kapal Tempur Pesisir (LCS)’ di hadapan kompleks beli-belah Sogo, di sini pada pukul 2 petang, 14 Ogos 2022. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast