BATU PAHAT – Dua penuntut universiti pendidikan tinggi awam (IPTA) ditahan kerana melakukan perbuatan tidak senonoh dalam kereta di tempat letak kereta Taman Universiti, Parit Raja di sini malam tadi.
Pasangan tersebut ditahan pihak Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) semasa berdua-duaan dalam kereta dan dalam keadaan mencurigakan.
JAINJ dalam satu kenyataannya memberitahu, pasangan lelaki berusia 26 tahun dan wanita 23 tahun itu masing-masing berasal dari Perak dan Pulau Pinang dan masih bujang.
“Mereka dipercayai menuntut di sebuah universiti awam dalam pengajian ijazah serta diploma. Pasangan itu ditahan ketika berada berdua-duaan dalam sebuah kereta dengan enjin kereta dihidupkan serta pendingin hawa terpasang selain berada di tempat sunyi dan cermin gelap.
“Apabila ditahan, pasangan itu merayu kepada penguat kuasa supaya tindakan tidak diambil kerana masih belajar.
“Mereka turut memberi alasan sedang berbincang mengenai pelajaran yang wanita itu tak berapa faham di kelas siang tadi,” katanya.
Menurutnya, pihak penguat kuasa sebelum itu mendapat aduan daripada orang ramai berikutan banyak kejadian ‘kereta rosak’ yang enjinnya hidup di tengah malam di kawasan berkenaan.
“Bagaimana keadaan tak senonoh itu, biarlah fakta itu dijelaskan di mahkamah syariah nanti,” katanya.- MalaysiaGazette
















