Mohammad Khoirul (tengah) bersama kakitangan GISSCO di Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – GISSCO Sdn. Bhd, syarikat bumiputera pertama yang dianugerahkan Lesen Petronas 001 bakal menganjurkan Majlis Gala Jubli Emas ke-50 dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2025 di sini pada 15 September depan.

Majlis penuh gemilang itu dijangka menghimpunkan lebih 400 tetamu terdiri daripada pemegang taruh, rakan industri dan warga kerja.

Acara yang bukan sahaja meraikan lima dekad pencapaian GISSCO malah menzahirkan penghargaan syarikat terhadap individu yang menjadi tulang belakang kepada kejayaannya sejak 1975.

“Tahun 2025 menandakan ulang tahun ke-50 GISSCO sebagai peneraju utama dalamsektor minyak dan gas negara bermula daripada perkhidmatan katering luar pesisir yang sederhana kepada penyedia utama tenaga kerja mahir, perkhidmatan teknikal, pengurusan acara dan pembekal peralatan perlindungan diri (PPE) yang terkemuka,” kata Pengarah Urusan Gissco, Mohammad Khoirul Kamal Mohammad Rashid dalam kenyataan.

Pelancaran logo baharu akan turut diadakan sebagai symbol transformasi korporat yang berterusan.

Menurut Mohammad Khoirul, pihaknya dianugerahkan sebagai pemegang Lesen Petronas 001 bukan sekadar satu keistimewaan tetapi ia adalah legasi.

“Kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua rakan strategik khususnya Petronas atas kepercayaan berterusan terhadap GISSCO selama ini.

“Sejarah penubuhan GISSCO pada tahun 1975 bermula dengan tekad dan kerja keras pengasasnya, Allahyarham Mohammad Rashid Mohd Fahmi yang tidak pernah mengenal erti putus asa, berjuang demi mengekalkan kelangsungan syarikat di tengah cabaran industri,” katanya.

Beliau turut mengakui untuk terus kekal relevan dalam dunia digital dan landskap industri yang sangat kompetitif bukanlah satu tugas mudah.

Namun, GISSCO mampu bertahan dan terus berkembang kerana asas kami ialah kerja berpasukan yang kukuh.

“Kami berharap pengiktirafan ini dapat membakar semangat generasi usahawan bumiputera akan datang untuk terus menerajui sektor strategik negara denganpenuh jati diri dan integriti,” ujarnya.

Seentara itu, kemuncak acara adalah Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2025 yang mengiktiraf kesetiaan dan dedikasi warga kerja dari cawangan GISSCO di Miri, Kemaman, Labuan dan ibu pejabat Kuala Lumpur.

“Anugerah itu bagi menghargai sumbangan individu yang telah memperkukuh asas kejayaan GISSCO sejak dahulu hingga kini,” katanya.

Majlis juga akan disemarakkan dengan persembahan artis-artis popular seperti Datuk Khatijah Ibrahim, Datuk Hattan, Dayang Nurfaizah, Mimi Fly dan Atilia.

Majlis itu juga turut dijangka akan dirasmikan oleh seorang tetamu kehormat mewakili kepimpinan negara dalam sektor ekonomi dan korporat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast