Zakaria (baju biru) memeriksa pasport salah seorang pekerja asing yang didapati melanggar Akta Imigresen dalam satu Operasi Bersepadu di sebuah kilang di Simpang Ampat, Pulau Pinang hari ini.

NIBONG TEBAL – Taktik licik ejen yang merekrut pekerja asing menggunakan permit sektor pembersihan serta buruh binaan sebagai pekerja kilang akhirnya berjaya dibongkarkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menerusi Operasi Bersepadu di sebuah kilang di Simpang Ampat di sini, hari ini.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, seramai 749 individu diperiksa dalam operasi bersepadu bermula 10.30 pagi itu sebelum 307 daripadanya dikesan melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen.

Katanya, kesemua tangkapan berusia 20 hingga 40 itu terdiri daripada 306 warga Bangladesh manakala seorang lagi warga Nepal.

“Mereka yang ditahan didapati melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen antaranya salah guna sektor permit, bekerja di lokasi tidak dibenarkan, permit tamat tempoh dan tiada dokumen perjalanan yang sah.

Zakaria.

“Bagaimanapun, kesalahan paling banyak dikesan melibatkan mereka yang memiliki permit kerja dalam sektor pembersihan tetapi bekerja di kilang,” katanya kepada pemberita di lokasi serbuan hari ini.

Operasi bersepadu itu turut melibatkan beberapa agensi lain termasuk Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).

Tambah beliau, kesemua tangkapan akan dibawa ke pejabat imigresen untuk pemeriksaan lanjut sebelum ditempatkan di Depot Imigresen Jawi.

Sementara itu, wartawan MalaysiaGazette yang turut serta dalam operasi berkenaan sempat menemu bual seorang lelaki warga Bangladesh yang mendakwa datang ke Malaysia pada tahun 2023 melalui ejen dengan bayaran sekitar RM20,000 atau kira-kira 300,000 Taka Bangladesh.

Rata-rata didapati melanggar syarat permit dengan bekerja di sektor lain.

Menurutnya, dia mengetahui permit yang digunakan adalah untuk sektor pembersihan, namun tetap bekerja di kilang selepas ejen memaklumkan kerja di kilang termasuk dalam skop kerja pembersihan.

“Saya tahu permit saya untuk kerja cleaner, tapi ejen kata kerja kilang ni pun termasuk dalam kerja cleaner,” katanya ringkas ketika ditemui sejurus ditahan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast