Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan Sistem Aliran Pantas Pelbagai Lorong (MLFF) tidak akan melibatkan implikasi kewangan daripada kerajaan kerana ia dilakukan secara Perniagaan Perniagaan Ke Perniagaan (B2B) antara syarikat penyedia perkhidmatan dengan pihak konsesi lebuh raya.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ia merupakan hala tuju yang telah dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada 25 Julai lalu.

Sehubungan itu, katanya, isu mengenai implikasi kewangan tidak berbangkit.

“RM3.46 billion (implikasi) yang disebut oleh YB Setiu-Perikatan Nasional (Shaharizukirnain Abd Kadir) itu tidak akan berlaku, sebab sebagaimana saya sebut kerajaan telah membuat keputusan ia perlu (dilakukan secara) B2B dan ia tidak akan melibatkan satu sen implikasi kewangan daripada kerajaan.

“Kita (KKR) tidak akan terlibat daripada segi sebarang kos yang diadakan apabila MLFF dilaksanakan,” katanya menjawab soalan tambahan daripada ahli Parlimen tersebut di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, Shaharizukirnain meminta Ahmad menjelaskan cadangan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) supaya KKR memastikan tiada implikasi kewangan kepada kerajaan dan pengguna dalam cadangan hala tuju pelaksanaan MLFF yang akan dimuktamadkan kelak.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, kerajaan memberi tempoh dua tahun untuk MLFF dilaksanakan sepenuhnya di 33 lebuh raya.

“Oleh itu semua syarikat konsesi berbincanglah dengan syarikat yang mereka ingin (syarikat yang menyedia perkhidmatan MLFF) itu,” katanya lagi.

Tambahnya, MLFF kelak akan dilengkapi dengan teknologi sistem RFID dan Automatic Number Plat Recognition (NAPR) yang akan merakam nombor pendaftaran setiap kenderaan yang melali lorong berkenaan.

“Jadi siapa yang tidak bayar memang dicari sebab kita ambil nombor plat kenderaan yang lalu. Siapa tidak bayar memang akan dicari kemudian tentunya diberikan notis dan mungkin selepas ini ada kaedah tertentu misalnya tidak boleh (perbaharui) cukai jalan itu antaranya mungkin,” jelasnya.

Sehingga kini, katanya, 614 Lorong di 31 lebuh raya mempunyai kemudahan pembayaran tol RFID.

Manakala 341 Lorong di 26 lebuh raya menyediakan penggunaan kad pelbagai termasuk kad debit dan Touch N Go.

“Beerti ini adalah perubahan positif kepada pergerakan di lebuh raya,” tambahnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast