KUANTAN – Pas Pahang menjunjung titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar enakmen syariah di negeri itu dikaji semula secara menyeluruh dan bukan sekadar semakan kosmetik.
Pesuruhjayanya, Datuk Rosli Abdul Jabar berkata, Pas Pahang akan terus menyokong apa sahaja usaha meninggikan syiar Islam termasuklah perlaksanaan hukum Allah seperti titah baginda.
“Pas Pahang melahirkan rasa gembira dan bersyukur ke hadrat Ilahi atas kesungguhan Tuanku untuk mengangkat hukum Allah sebagai hukum tertinggi yang akan memelihara rakyat khususnya umat Islam di negeri Pahang.
“Walaupun ia masih di peringkat kajian, kami yakin dengan kesungguhan tuanku, hasrat itu akan dapat direalisasikan suatu masa nanti,” katanya hari ini.
Kelmarin Al-Sultan Abdullah bertitah agar enakmen syariah di negeri ini dikaji semula secara menyeluruh dan dilaksanakan sebagai satu reformasi berlandaskan lima prinsip utama maqasid syariah iaitu menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.
Dalam pada itu, baginda turut menyentuh aspek fatwa di mana institusi fatwa di Pahang perlu terus berlandaskan ilmu, autoriti dan prinsip ijtihad yang sahih berdasarkan al-Quran, sunnah, ijma’ dan qiyas serta mempertimbangkan kepentingan ummah secara menyeluruh. – MalaysiaGazette
















