Wednesday, August 19, 2026
Home Nasional Peguam gesa wanita dakwa Zara Qairina dimasukkan dalam mesin basuh buat laporan

Peguam gesa wanita dakwa Zara Qairina dimasukkan dalam mesin basuh buat laporan

Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir. -Foto: SUMBER MEDIA SOSIAL

KUALA LUMPUR – Peguam mewakili keluarga Zara Qairina Mahathir menegaskan, ibu allahyarham tidak pernah memberi sebarang maklumat yang mengatakan anaknya dimasukkan ke dalam mesin basuh kepada mana-mana pihak.

Peguam Hamid Ismail dan Shahlan Jufri berkata, video seorang wanita yang mendakwa pelajar berusia 13 tahun itu dibuli dengan cara sedemikian adalah satu spekulasi.

Sehubungan itu, kedua-dua peguam terbabit menggesa wanita berkenaan menyalurkan maklumat tersebut kepada pihak polis untuk siasatan.

Dua peguam terbabit, Hamid Ismail dan Shahlan Jufri, dalam satu kenyataan hari ini berkata ibu Zara Qairina, Noraidah Lamat, tidak pernah memberi maklumat terbabit kepada mana-mana pihak.

“Berikutan penularan beberapa video dan gambar berkaitan dengan kes Zara, pertama, kami ingin membuat kenyataan bahawa video seorang wanita menceritakan Zara dimasukkan ke dalam mesin basuh, adalah satu spekulasi.

“Penyebaran gambar kronologi yang menggambarkan Zara hanya dibawa ke Hospital Queen Elizabeth pada 1 jam 8 pagi pada 16 Julai 2025 juga adalah satu spekulasi. Maklumat yang membentuk kronologi itu bukan datang daripada anak guam kami.

“Kedua, penyebaran gambar pelajar sekolah di platform media massa dan membuat kenyataan negatif terhadap mereka adalah satu kesalahan jenayah bawah Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001, serta Seksyen 211 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam satu kenyataan.

ARTIKEL BERKAITAN

https://malaysiagazette.com/2025/08/05/zara-qairina-semua-pihak-perlu-ambil-pendirian-hormati-proses-siasatan-sedia-ada-saifuddin-nasution/

https://www.facebook.com/watch/?v=1111028550950902

Kenyataan itu dibuat susulan wujud dakwaan terbaharu yang berlegar dalam media sosial, mendakwa kononnya Zara Qairina dimasukkan ke dalam mesin basuh sehingga mengalami kecederaan dalaman.

Dakwaan itu tular sejak beberapa hari lalu menerusi pelbagai akaun tidak dikenali di media sosial, antaranya mengaitkan kecederaan Zara dengan tekanan mesin basuh, kononnya digunakan oleh pembunuh untuk menghapuskan cap jari dan asid deoksiribonukleik (DNA).

Setakat ini, tiada sebarang pengesahan atau petunjuk daripada pihak berkuasa berkenaan kewujudan elemen yang dikaitkan dalam teori terbabit.

Sehubungan itu, kedua-dua peguam berkenaan berharap penularan pelbagai dakwaan membabitkan kes kematian Allahyarhamah Zara di semua platform media sosial dihentikan segera.

“Kepada mereka yang telah melakukan penyebaran sedemikian, kami memohon agar memadam video dan gambar terbabit. Spekulasi hanya menambah tekanan dan kesedihan kepada anak guam kami.

“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkenaan kes Zara diminta untuk menyalurkan maklumat kepada polis untuk tujuan siasatan,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast