Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR  – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menjalankan siasatan terperinci berhubung dakwaan kenyataan Tan Sri  Muhyiddin Yassin yang mempertahankan hak warga asing untuk mendapat bahan api bersubsidi.

“Sebagai kerajaan yang menjunjung ketelusan dan bertanggungjawab, Perdana
Menteri telah mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia
(MCMC) untuk menyiasat perkara ini serta mengambil tindakan sewajarnya,” kata Pejabat Perdana Menteri (PMO) hari ini.

Tindakan itu selepas Mujyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional itu menafikan beliau ada membuat kenyataan tersebut.

Malah, bekas perdana menteri itu mencabar Anwar untuk mengemukakan bukti beliau mempertahankan warga asing dalam isu tersebut.

Dakwaan tersebut telah tular di media sosial dan mengundang pelbagai reaksi, khususnya melibatkan keprihatinan orang ramai terhadap kebocoran subsidi serta kesannya kepada rakyat tempatan yang lebih memerlukan.

Kerajaan sebelum ini memperkenalkan mekanisme penyasaran subsidi RON95 sebagai sebahagian daripada usaha pembaharuan fiskal bagi memastikan bantuan disalurkan kepada golongan yang benar-benar layak, di samping mengekang ketirisan kepada pihak tidak sepatutnya termasuk warga asing.

Semalam, Muhyiddin menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Anwar bahawa beliau mempertahankan warga asing berhubung isu subsidi petrol RON95.

Muhyiddin berkata, tuduhan itu dibuat Perdana Menteri, yang juga Ahli Parlimen Tambun ketika sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat semalam..

Anwar dalam sesi Waktu Pertanyaan Menteri meminta pembangkang membaca kenyataan Muhyiddin yang didakwanya mempersoalkan tindakan kerajaan membebankan orang asing dalam penyasaran subsidi RON95.

Anwar berkata demikian sebagai reaksi terhadap pertanyaan Datuk Rosol Wahid (PN–Hulu Terengganu) yang meminta beliau menjelaskan siapakah ahli Parlimen yang didakwa mempertahankan kebajikan warga asing susulan pelaksanaan rasionalisasi subsidi oleh kerajaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast