Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Polis sedang mengesan beberapa penjenayah bersenjatakan parang yang memecah masuk rumah seorang saksi utama dalam perbicaraan membabitkan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, di Jalan Bukit Gasing, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, pihaknya  menerima maklumat kejadian samun bersenjatakan parang itu pada pukul 7.20 pagi.

Katanya, beberapa penjenayah yang turut memakai penutup muka memecah masuk rumah dan melarikan barangan berharga yang disimpan di dalam peti besi.

“Penjenayah melarikan diri menggunakan laluan hutan di bahagian belakang rumah terbabit.

“Polis juga ada menemui semula beberapa barangan berharga di laluan penjenayah melarikan diri,” katanya dalam kenyataan.

Shahrulnizam berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

“Siasatan masih diteruskan berkaitan kes ini dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan suspek mohon tampil ke balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan Bilik Gerakan IPD Petaling Jaya di talian 03-79662222 atau Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Fandhi Fatullah Abu Bakar 014-6303090 bagi membantu siasatan berhubung dengan kes,” katanya.

Terdahulu hari ini, media melaporkan seorang saksi utama dalam perbicaraan kes rasuah terowong dasar laut Pulau Pinang membabitkan Guan Eng diserang sekumpulan lelaki yang menceroboh rumahnya di Petaling Jaya.

Lelaki berkenaan mengalami kecederaan di bahagian mulut dan pergelangan tangan manakala dua pengawal keselamatannya diikat oleh penyerang selain turut diberi amaran `Jangan jadi hero, duduk rumah diam-diam’.

Lim yang juga penasihat DAP sedang berdepan beberapa pertuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen berhubung Projek Terowong Dasar Laut Pulau Pinang. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

Saksi penting kes Guan Eng cedera diserang 10 individu

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast