Ibu bapa kepada lelaki orang kurang upaya (OKU) mental, Norhafsham Nazri, 43, atau mesra disapa Icam dilaporkan hilang di sekitar kawasan Kampung Warisan, Taman Melawati sejak Jumaat lalu.

KUALA LUMPUR – “Saya tidak kisah jumpa Icam (Norhafsham) dalam keadaan masih hidup atau sebaliknya, janji kami dapat bertemu dia buat kali terakhir”.

Itu luahan Nazri Harun, 69, bapa kepada lelaki orang kurang upaya (OKU) mental, Norhafsham Nazri, 43, atau mesra disapa Icam yang hilang di sekitar kawasan Kampung Warisan, Taman Melawati sejak Jumaat lalu.

Nazri berkata, anak kedua daripada tiga beradik itu seringkali pergi ke kolam mandi di situ untuk berehat berhampiran kawasan sekitar setiap hari dengan berjalan kaki atau menumpang kenderaan orang.

Namun pada hari kejadian sekitar 2.30 petang, katanya, Norhafsham meminta dia menghantar semula ke kawasan hutan itu dan mendakwa kononya mahu ke ‘istana puteri bunian’ di atas puncak Bukit Tabur.

“Dia sudah duduk dengan kami sejak lapan tahun lalu selepas bercerai dan mengalami masalah kemurungan, jadi bila dia tidak sihat akan datang sini untuk tenangkan dirinya.

“Tapi pada hari kehilangannya itu, ada orang jumpa beg sandang Icam berisi rokok, minyak wangi dan barang peribadinya kira-kira 100 meter dari sini (kaki bukit) menjadi penunjuk dia naik ke atas.

“Kami akan tetap setia tunggu di sini walaupun operasi pencarian sudah dihentikan, ada juga usaha alternatif lain bagi tahu Icam masih ada di sana, masuk tempat alam ghaib dan macam-macam ceritalah.

“Saya reda dengan apa yang berlaku tetapi harap sangat anak kami dapat ditemukan dalam apa jua keadaan sekali pun, saya risau sebab dia sehelai sepinggang,” katanya dengan nada sayu ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian hari ini.

Kebimbangan itu turut dikongsikan isterinya, Norida, 72, yang memberitahu, anak lelakinya didiagnosis penyakit itu sejak 2018 selepas kemurungan akibat tekanan dan masih mendapatkan rawatan hospital.

“Perasaan saya mengatakan dia masih ada, tengok biliknya kosong lagi membuatkan saya sedih dan selalunya dia keluar jauh mana pun pasti akan balik tapi kali ini sudah enam hari.

“Saya risau, dia keluar tidak bawa apa-apa tanpa makanan dan macam manalah keadaan dia sekarang. Saya cuba mahu jumpa dia, lihat sendiri jasadnya,” ujarnya.

Penduduk, Tarzan berhubung kes kehilangan seorang lelaki tempatan berstatus orang kelainan upaya (OKU), ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Bukit Tabur, Selangor. Foto MUHAIMIN MARWAN, 4 OGOS 2025

Sementara itu, seorang jurupandu arah yang mahu dikenali sebagai Tarzan, 50, berkata, dia adalah individu yang menjumpai beg mangsa berdekatan kaki bukit selepas lelaki itu dilaporkan hilang.

Malah dia juga merupakan penduduk yang mencari mangsa pada hari pertama selepas dimaklumkan oleh ibu lelaki itu pada Jumaat lalu.

“Sebelum kejadian, saya sudah melarang mangsa untuk memasuki kawasan larang dan milik persendirian ini pada pukul 11 pagi dan dia (Icam) beritahu dia mahu bertemu isterinya di atas.

“Melihat keadaan dia tidak sihat saya minta nombor telefon kedua ibu bapanya namun sebelah petang, ayahnya hubungi memaklumkan anaknya hilang dan minta tolong mencarinya.

“Kemudian, saya jumpa beg mangsa dan cari dia dari pukul 6 petang hinga 4 pagi tapi tidak menemui sebarang jejak, kalau mahu dikaitkan dengan mistik tidak boleh dinafikan sebab ini hutan.

“Sepanjang duduk sini, ini adalah kejadian pertama orang hilang paling lama saya lihat sebab selalunya hanya dua tga hari sahaja. Saya selalu naik atas sebab di sini kebun saya dan bantu juga mencari mangsa,” jelasnya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Hilang di Bukit Tabur: Mangsa dipercayai ke lokasi lain, SAR dihentikan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast