Sultan Ibrahim (tengah) dan Onn Hafiz meninjau Taman Botani Diraja Johor di Johor Bahru yang akan dibuka semula pada 31 Ogos ini

JOHOR BAHRU – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan untuk Taman Botani Diraja Johor di sini dibuka semula pada 31 Ogos ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, taman tersebut dibuka semula untuk orang ramai selepas dinaik taraf dan bakal menjadi mercu tanda pelancongan di Johor.

“Taman ini akan dibuka setiap Rabu hingga Ahad bermula 8 pagi hingga 6 petang dan ditutup setiap Isnin dan Selasa untuk kerja-kerja penyelenggaraan.

“Harga tiket masuk RM2 bagi warganegara, RM30 bagi bukan warganegara serta percuma untuk kanak-kanak berumur 5 tahun ke bawah dan pemegang kad OKU (orang kurang upaya),” katanya dalam hantaran menerusi Facebook hari ini.

Taman berkenaan mula dibangunkan pada tahun 1864 dan kini kembali dengan wajah baharu dengan lebih indah, tersusun dan mencerminkan warisan alam semula jadi yang menjadi identiti Johor.

Menurutnya, kawasan itu meliputi kawasan seluas lebih 126 ekar dan kini menampilkan 12 taman khas dengan lebih 583 spesies flora.

Begitu juta hampir 145,000 batang pokok, hasil kerjasama erat antara Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), Majlis Perbandaran Kulai (MPKu), Majlis Perbandaran Pengerang (MPP) dan Majlis Perbandaran Pontian (MPPn).

“Semoga usaha ini akan menghidupkan semula memori serta nilai sentimental lokasi-lokasi bersejarah yang menjadi sebahagian daripada identiti Bandaraya Johor Bahru,” katanya.

Onn Hafiz mempelawa pengunjung untuk membawa keluarga dan rakan-rakan untuk menerokai taman tersebut apabila dibuka nanti.

“Semoga kehadiran anda semua akan memeriahkan lagi pembukaan sekaligus menjayakan – agenda Tahun Melawat Johor 2026,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast