JOHOR BAHRU – Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail mengadakan pertemuan dengan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh Tseow Suan membincangkan hal ehwal pembangunan belia dan sukan di Johor dan Malaysia.
Pertemuan tersebut yang berlangsung selama kira-kira satu jam di sini hari ini turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah.
Menurut kenyataan yang muat naik dalam Facebook HRH Crown Prince of Johor, tumpuan perbincangan adalah pembangunan belia dan sukan, merangkumi aktiviti-aktiviti belia, had umur belia di bawah Akta A1602 dan status pertubuhan belia di Johor.
“Ini termasuk musim bola sepak Malaysia yang akan bermula hujung minggu ini, penyertaan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim dalam kejohanan peringkat Asia dan Asia Tenggara, serta perkembangan terkini pasukan kebangsaan Malaysia,” menurut kenyataan itu.- MalaysiaGazette
















