KUALA LUMPUR – Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) boleh bermain politik populis untuk mempertahankan kesilapan berhubung pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik membabitkan orang kelainan upaya (OKU).
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Subang, Datuk Seri Fariz Hazurin Ismail berkata, jangan sesekali mencabar semangat cinta tanah air rakyat Malaysia yang melihat Jalur Gemilang sebagai simbol perpaduan dan kedaulatan.
“Pemimpin DAPSY menuduh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh bersikap hipokrit dan tidak konsisten.
“Sebenarnya tindakan pimpinan DAPSY itu dilihat lebih sibuk untuk mempertahankan kesilapan daripada mempertahankan maruah negara.
“Jalur Gemilang bukan sekadar kain berjalur merah putih atau alat propaganda politik, bahkan bendera Malaysia melambangkan maruah negara,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Dr Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau membuat hantaran di laman sosial miliknya meminta agar DAPSY yang mengkritik beliau turut diberikan status OKU.
Kenyataan itu dibuat sebagai maklum balas kepada Penolong Setiausaha DAPSY, Edmund Lim yang mengecam Akmal berhubung Jalur Gemilang dipasang terbalik di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di Port Dickson, Negeri Sembilan.
Fariz yang juga Exco Pergerakan Pemuda UMNO berkata, kesalahan mempamerkan Jalur Gemilang secara terbalik bukan isu kecil, lebih-lebih lagi apabila dilakukan di sebuah institusi pendidikan.
“Kes yang berlaku di SJKC Chung Hua, Port Dickson adalah satu bentuk kecuaian yang sangat memalukan, lebih-lebih lagi apabila ia berlaku dalam konteks sebuah institusi pendidikan.
“Apabila bendera negara dipasang terbalik, walau apa pun alasan sekalipun, ia menunjukkan ada kelemahan serius dalam pengurusan sekolah,” katanya.
Menurut Fariz, tiada ruang untuk memberi alasan kononnya kesilapan itu sebagai satu kesilapan kerana ia melibatkan bendera negara.
“Tiada ruang untuk beri alasan tak perasan (silap pasang),” tegasnya.
Beliau turut kecewa kerana serangan pemimpin DAPSY bukan kali pertama dilakukan dan ia tidak mencerminkan perjuangan sayap DAP itu dengan nilai kemanusiaan dan keadilan.
“Malah ia menunjukkan sikap tidak matang dalam mengurus perbezaan pendapat seperti isu label daging ham di premis KK Mart sebelum ini.
“Sebaliknya DAPSY lebih berminat untuk mempertahankan kecuaian daripada bersama-sama mempertahankan simbol negara kita,” katanya.
Katanya lagi, Jalur Gemilang tidak mewakili mana-mana parti, jauh sekali dimiliki mana-mana parti politik termasuk UMNO-Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).
“Ia bukan milik mana-mana parti gabungan politik. Ia adalah milik rakyat. Ia lambang tanah air.
“Ia kibaran darah perjuangan. Teguran Datuk Dr. Akmal bukan bermotif politik malah ia berpaksikan semangat patriotisme dan tanggungjawab moral terhadap negara,” katanya.
Sehubungan itu Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Subang menolak sekerasnya cubaan mana-mana pihak untuk memesongkan perhatian rakyat dengan serangan bersifat politik sempit.
“Kami akan terus berdiri bersama Datuk Dr Akmal Saleh mempertahankan Jalur Gemilang daripada sebarang bentuk penghinaan dan kami tidak akan tunduk kepada tekanan politik apabila kebenaran ditegakkan,” katanya. – MalaysiaGazette
















