Badrul Hisham Shaharin (kanan) bersama-sama peguam Muhammad Rafique Rashid Ali ditemui wakil media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur selepas bicara kes berkaitan fitnah Yang di-Pertuan Agong. 7 OGOS 2025.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen menetapkan 4 November ini untuk keputusan sama ada Ketua Bersatu Bahagian Port Dickson, Badrul Hisham Shaharin dibebaskan atau dipanggil membela diri atas pertuduhan mengeluarkan kenyataan fitnah yang boleh menjejaskan nama baik Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Hakim Norma Ismail menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Nursyuhada Husna Sulaiman memaklumkan pihak pendakwaan menutup kesnya selepas selesai mendengar keterangan saksi terakhir iaitu pegawai penyiasat, Asisten Superintendan M. Jagachandran.

“Mahkamah menetapkan 9 September untuk pihak-pihak memfailkan hujahan bertulis, 9 Oktober bagi pemfailan hujahan balas sekiranya ada dan 4 November untuk mengetahui keputusan di akhir kes pendakwaan,” kata hakim itu.

Pada prosiding hari ini, Badrul Hisham diwakili peguam Muhammad Rafique Rashid Ali.

Seramai empat saksi pendakwaan telah dipanggil memberi keterangan sejak hari pertama perbicaraan pada 16 Mei lalu, termasuk pengadu daripada Istana Negara, dua saksi daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) serta pegawai penyiasat kes.

Pada 29 April 2024, Badrul Hisham atau dikenali dengan nama panggilan Chegu Bard didakwa telah mengeluarkan kenyataan fitnah dengan ada sebab untuk mempercayai bahawa kenyataan fitnah itu akan merosakkan nama baik Seri Paduka.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara di sini pada 6 petang, 22 Januari 2024.

Dia didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast