KUALA LUMPUR – Para pemimpin sayap Wanita UMNO dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendesak pemimpin Pas membuat permohonan maaf secara terbuka dan menarik balik kenyataan yang seolah-olah menyamakan golongan itu dengan haiwan.
Ketua Wanita UMNO Negeri Sembilan, Datuk Bibi Sharliza Mohd Khalid berkata, kenyataan itu bertentangan dengan nilai-nilai sebuah masyarakat bertamadun yang menjunjung prinsip kesaksamaan, kehormatan dan integriti dalam ruang demokrasi.
Ujar beliau, menyamakan wanita dengan lembu bukan sahaja memperlekehkan kaum wanita malah merupakan satu bentuk penghinaan kepada seluruh golongan wanita yang telah menyumbang secara signifikan kepada pembangunan negara.
“Ia juga mencerminkan satu bentuk pemikiran patriarki dan seksis yang masih berakar dalam budaya politik sesetengah pihak dan tidak lagi boleh diterima dalam konteks Malaysia yang moden, inklusif dan progresif,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, media melaporkan Ketua Penerangan Pemuda Pas Maran, Muhammad Salman Al Farisi menerusi hantaran di laman sosial Facebook beliau menekankan kepentingan kepimpinan lelaki dalam masyarakat sambil memberikan analogi berdasarkan pengalamannya menternak lembu selama lebih setahun.
Menurut Muhammad Salman, dalam pengurusan ternakan, lembu betina sering memimpin kumpulan ternakan tersebut termasuk menentukan lokasi meragut, waktu berehat dan waktu pulang, manakala lembu jantan hanya berperanan menjaga keselamatan kawanan.
Dalam pada itu, Bibi Sharliza yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh turut mendesak kepimpinan Pas menyatakan sama ada kenyataan tersebut merupakan pendirian rasmi parti berkenaan terhadap kedudukan wanita dalam masyarakat dan politik negara.
Sementara itu, Ahli Parlimen PKR Ampang, Rodziah Ismail mencabar kepimpinan sayap Muslimat Pas bangkit menuntut Muhammad Salman menarik balik kenyataan tersebut dan memohon maaf kepada golongan wanita di negara ini.
Beliau turut mempersoalkan sama ada pandangan itu tidak terpakai kepada Pas memandangkan ramai Muslimat Pas turut diberi amanah dalam kepimpinan sama ada sebagai Ahli Parlimen, Exco dan jawatan tertinggi lain.
“Dalam dunia hari ini, ramai ilmuwan Islam moden tidak melihat kepimpinan wanita sebagai bercanggah dengan Islam selagi prinsip keadilan, kelayakan dan integriti ditegakkan.
“Islam tidak menilai kepimpinan berdasarkan jantina semata-mata, tetapi takwa, kebijaksanaan dan kemampuan,” katanya. – MalaysiaGazette
















