KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Batu membidas Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) cuba memesongkan isu sebenar dengan memainkan sentimen simpati kononnya Jalur Gemilang dipasang orang kelainan upaya (OKU).
Ketuanya, Mohd Zulfadli Amiruddin berkata, tindakan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh menegur secara terbuka sebenarnya satu bentuk tanggungjawab moral wajar disokong bukan dijadikan serangan politik.
“Yang Berhormat Datuk Dr. Akmal tidak pernah menghina golongan OKU atau individu tertentu. Teguran beliau ditujukan kepada pihak berwajib agar lebih bertanggungjawab terhadap simbol negara.
“Pimpinan DAP perlu diingatkan agar tidak mempolitikkan isu patriotisme demi kepentingan sempit,” katanya menerusi satu kenyataan kepada MalaysiaGazette hari ini.
Sebelum ini, Dr Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau membuat hantaran di laman sosial miliknya meminta agar DAPSY yang mengkritik beliau turut diberikan status OKU.
Kenyataan itu dibuat sebagai maklum balas kepada Penolong Setiausaha DAPSY, Edmund Lim yang mengecam Akmal berhubung Jalur Gemilang dipasang terbalik di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di Port Dickson, Negeri Sembilan.
Dalam pada itu, Zulfadli berkata, pihaknya tidak anti mana-mana kaum atau golongan, namun menolak sebarang bentuk penghinaan terhadap simbol kedaulatan negara.
“Indonesia dan Thailand juga akan memandang serius terhadap isu penghinaan bendera kebangsaan dan Malaysia seharusnya tidak berkompromi dalam hal seumpama itu,” katanya.
Menurut Zulfadli, pihaknya berdiri teguh bersama suara anak muda yang berani dan berprinsip seperti Dr. Akmal dalam mempertahankan maruah dan kedaulatan negara.
“Jalur Gemilang adalah lambang perjuangan tokoh-tokoh bangsa yang menuntut kemerdekaan. Ia bukan sekadar kain, tetapi simbol kemerdekaan dan perpaduan negara.
“Memasang bendera secara terbalik, lebih-lebih lagi di sebuah institusi pendidikan, adalah satu penghinaan. Insiden tersebut bukanlah satu isu yang remeh sebagaimana didakwa sesetengah pihak, sebaliknya menyentuh soal maruah dan kedaulatan negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















