Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Seri Fadillah Yusof pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 29 JULAI 2025.

KUALA LUMPUR – Kerajaan menumpukan usaha memperkukuh inisiatif Tenaga Boleh Baharu (TBB) sedia ada bagi memberikan kepastian, insentif serta opsyen bekalan elektrik hijau yang lebih luas kepada pemain industri.

Ia demi menarik pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan langsung domestik (DDI) dalam negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Ai berkata, antara usaha yang akan diteruskan adalah program solar berskala besar dan meneruskan pelaksanaan mekanisme tarif galakan termasuk Program Low Carbon Energy Generation Program.

Beliau berkata, inisiatif-inisiatif tersebut dijangka akan membuka dan menarik pelaburan sehingga kira-kira RM637 bilion dan 310,000 peluang pekerjaan langsung sehingga tahun 2050.

“Memperkemaskan pelaksanaan Program Corporate Renewable
Energy Supply Scheme (CRESS) untuk membolehkan syarikat yang melabur di negara ini mendapat bekalan elektrik hijau daripada penjana TBB pilihan secara langsung, selain daripada syarikat utiliti untuk memenuhi komitmen ESG dan.

“Meneruskan penyediaan insentif cukai, Green Investment Tax
Allowance (GITA) dan Green Income Tax Exemption (GITE) untuk
menggalakkan pelaburan dalam teknologi hijau dan tenaga boleh
baharu,” katanya di Dewan Rakyat menjawab soalan Datuk Abdul Khalib Abdullah (Rompin-PN).

Abdul Khalib terdahulu meminta Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menyatakan perancangan untuk menarik FDI dalam sektor teknologi hijau dan ekonomi sirkular berkaitan tenaga dan air serta impak jangkaan terhadap penciptaan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan pemindahan teknologi kepada tenaga kerja tempatan.

Dalam pada itu, tambah Fadillah, kerajaan menetapkan kuiti pemilikan tempatan dalam semua projek TBB yang diperkenalkan dan dilaksanakan sekurang-kuranya pada kadar 51 peratus.

Jelas beliau, ia bagi memastikan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan pemindahan teknologi kepada tenaga kerja tempatan dilaksanakan.

“Ini termasuk bagi pelaksanaan Program Solar Berskala Besar, Program Tarif Galakan, Program Corporate Renewable Energy Supply Scheme (CRESS) dan Program Community Renewable Energy Aggregation Mechanism (CREAM).

“Langkah ini diharap akan membolehkan pemindahan kemahiran dan juga teknologi khusus dalam bidang pembangunan TBB dilakukan dan memberi manfaat kepada pekerja-pekerja tempatan,” tambahnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast