Katsuhito dalam sidang akhbar pra perlawanan Piala Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri hari ini.

ISKANDAR PUTERI – Selangor FC mempertaruhkan beberapa muka baharu untuk menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi Piala Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim di sini malam esok.

Pengendali Selangor FC, Katsuhito Kinoshi berkata, Zach Clough, Picha Autra dan Kevin Deeromram akan mampu memberi yang terbaik walaupun tidak mempunyai pengalaman dalam Liga Malaysia (Liga M).

“Ini kerana ketiga-tiga pemain ini berpengalaman dan saya tidak risau mengenai reputasi mereka. Mereka juga dapat membentuk keserasian yang baik dan mula mengadaptasi corak permainan yang ditekankan sepanjang tujuh minggu ini.

“Walaupun ada perlawanan pramusim yang kurang memberangsangkan, kami berjaya mengesan kelemahan yang perlu diperbaiki selain mempertingkat kekuatan yang sedia ada,” katanya dalam sidang akhbar pra perlawanan Piala Sumbangsih di sini hari ini.

Katsuhito berkata, pasukannya tidak gentar untuk berdepan JDT malah optimis anak buahnya mampu menyaingi kekuatan Harimau Selatan pada perlawanan esok.

Pada masa sama, beliau akui kehebatan JDT yang cukup dominan setelah mendominasi Liga M sejak 11 tahun kebelakangan ini, bahkan pernah beberapa kali membolot semua kejuaraan semusim.

Jelas pengendali kelahiran Jepun itu, kualiti yang dimiliki Harimau Selatan tidak boleh disanggah namun beliau enggan menyerah kalah sebelum perlawanan berlangsung.

“Kami akan beri kesukaran buat mereka pada perlawanan itu dengan kehadiran beberapa muka baharu itu,” katanya.

Walaupun dilihat sebagai pasukan bukan pilihan untuk memenangi Piala Sultan Haji Ahmad Shah, beliau percaya kemampuan pasukannya untuk mencipta kejutan.

Ujarnya, Red Giants mungkin akan tampil dengan corak permainan yang lebih definsif dengan memperkuat bahagian tengah bagi memastikan pasukan tuan rumah tidak terlalu berleluasa mengawal permainan.

“Kita tidak hanya akan bertahan sebaliknya cuba untuk mencari ruang untuk mencipta gol. Oleh itu, penting buat pasukan melakukan transisi pantas untuk membuat serangan.

“Justeru, pemain perlu memberi lebih daripada 100 peratus pada perlawanan tersebut, ia bukanlah semudah kata namun ini yang perlu dilakukan bagi mengekang JDT,” ujarnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast