KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) telah menghantar surat pemakluman mengenai tindakan enam ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyokong Perdana Menteri kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
Perkara itu disahkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin menerusi sidang media di Parlimen di sini hari ini.
Justeru, beliau hairan mengapa Johari dalam Dewan Rakyat semalam berkata tidak menerima pengesahan tersebut.
“Mengikut Akta Anti Lompat Parti, setiausaha agung mana-mana parti hantar surat kepada speaker (untuk) memaklumkan melaporkan perkara itu.
“Ia terkandung dalam akta itu. Dia (Johari) nak minta apa lagi?Itu yang saya hairan, dia kata belum maklum kepada dia. Jadi sampai masa kita akan minta speaker minta maaf.
“Kalau boleh tolong (watawan) tanya speaker sebab kita tanya dia dalam dewan, dia kata itulah jawapannya,” katanya.
Semalam, Johari mengesahkan tidak menerima apa-apa maklumat mengenai status enam bekas ahli Parlimen Bersatu yang sebelum ini menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata demikian selepas Ahli Parlimen Hulu Terengganu Datuk Rosol Wahid (PN) bertanyakan tentang status keenam-enam Ahli Parlimen berkenaan.
Enam wakil rakyat yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri adalah Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal; Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan); Zahari Kechik (Jeli); Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang); Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).
Susulan itu, PN khususnya Bersatu dilaporkan telah beberapa kali menyerahkan notis pemakluman kepada Speaker Dewan Rakyat, iaitu pada 20 Jun tahun lalu dan 15 April lalu.- MalaysiaGazette
















