Mohd Fared Mohd (tiga kiri) dan Safian (tiga kanan) pada Majlis Penyerahan Bantuan Bilik Guru Sekolah Agama Daerah Tangkak di Dewan Seri Norizan, Kem Tawar Farm, Tangkak.

TANGKAK – Sebanyak 39 buah Sekolah Agama Kerajaan Johor di daerah ini menerima Bantuan Khas Bilik Guru berjumlah RM195,000 sumbangan peruntukan Kerajaan Negeri Johor dan Majlis Agama Islam Negeri Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi memperuntukkan RM5,000 kepada setiap sekolah agama.

Melalui peruntukan yang disalurkan pihak sekolah membuat penambahbaikan bilik guru untuk meningkatkan keselesaan sekali gus mewujudkan suasana kerja yang kondusif demi mutu pendidikan Islam yang cemerlang.

”Sebahagian peruntukan yang disalurkan ini adalah daripada orang yang bayar cukai tanah, cukai pintu atau zakat. Mereka bayar hasil kepada kerajaan, kerajaan pulangkan semula kepada rakyat dengan menyalurkan peruntukan seperti ini.

”Peruntukan yang diterima digunakan untuk menambahbaik keperluan di bilik guru supaya mereka bekerja dalam keadaan selesa dan meningkatkan prestasi kerja yang hebat. Peruntukan ini diterima dengan rasa syukur kerana mereka dihargai,” katanya pada majlis Penyerahan Bantuan Khas Bilik Guru Sekolah Agama Kerajaan Johor Daerah Tangkak di Dewan Seri Norizan, Kem Tawar Farm di sini hari ini.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir, Sahrihan Jani; Pegawai Pendidikan Islam Daerah Tangkak, Safian Mustaffa dan Ketua Whip Majlis Daerah Tangkak, Datuk Abdull Rahim Talib.

Sementara itu, Safian berkata, peruntukan yang diterima melambangkan satu pengiktirafan kerajaan negeri terhadap jasa dan pengorbanan guru-guru agama yang saban hari mencurahkan bakti meningkatkan pendidikan Islam anak-anak.

Peruntukan yang diberikan untuk penambahbaikan prasarana di sekolah akan menyuntik semangat baharu kepada guru untuk lebih komited mendidik anak bangsa.

”Terdapat 39 buah sekolah dengan jumlah murid 7,620 orang di daerah ini yang mengikuti pendidikan agama. Pengorbanan mereka dalam memartabatkan pendidikan Islam anak-anak amat dihargai.

“Guru bukan sahaja pendidik tetapi juga pembimbing, pembentuk sahsiah dan insan teladan kepada generasi akan datang,” katanya.

Safian turut melahirkan terima kasih kepada kerajaan Johor yang banyak menyalurkan peruntukan demi memartabatkan pendidikan Islam di negeri ini menerusi Sekolah Agama Kerajaan Johor. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast