Setiausaha Agung MUDA, Amir Hariri Abd Hadi

KUALA LUMPUR – Mahkamah Majistret hari ini melepas dan membebaskan bekas Setiausaha Agung Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Amir Hariri Abd Hadi daripada tuduhan gagal memaklumkan kepada pegawai polis sebelum mengadakan perhimpunan ‘Mana Kapal Tempur Pesisir (LCS)’ pada Ogos 2022.

Majistret, Farah Nabihah Muhamad Dan membuat keputusan tersebut selepas pihak pendakwaan menarik balik pertuduhan Selasa lalu.

Amir Hariri sebelum ini mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012, yang memperuntukkan denda maksimum RM10,000 jika disabitkan kesalahan.

Beliau didakwa pada 2022 di bawah Seksyen 9(5) akta tersebut kerana gagal memaklumkan kepada pihak berkuasa penganjuran perhimpunan #ManaKapalLCS, lima hari sebelum ia berlangsung pada 14 Ogos 2022.

Terdahulu ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Anis Wahidah Mohamad berkata, permohonan dibuat oleh pihaknya susulan Mahkamah Persekutuan pada 1 Julai lalu memutuskan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 sebagai tidak berpelembagaan.

Amir Hariri diwakili peguam, Rajsurian Pillai.-MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast