Awesome TV menjelaskan bahawa dan sebarang urusan kontrak serta pembayaran artis adalah tanggungjawab penuh pihak produksi berkenaan.

KUALA LUMPUR – Stesen televisyen swasta, Awesome TV memfailkan saman terhadap tiga selebriti tempatan berikutan kenyataan berunsur fitnah yang disebarkan melalui laman media sosial masing-masing.

Menerusi satu kenyataan rasmi, Awesome TV menafikan sekeras-kerasnya pihak mereka berhutang dengan tiga selebriti terbabit dan kenyataan yang dikemukakan dalam media sosial sudah memburukkan reputasi syarikat.

“Semua program yang disiarkan di saluran kami diterbitkan sepenuhnya oleh syarikat produksi luar.

“Kenyataan fitnah yang dikeluarkan oleh ketiga-tiga individu tersebut telah menjejaskan imej serta reputasi Awesome TV,” kata kenyataan itu.

Tindakan diambil susulan penyebaran dakwaan tidak berasas oleh Mohamad Amirullah Azmi (Amir Raja Lawak), Mohamad Ikhtiarudin Naina Mohamad (Mamak Puteh) dan Abu Musarrif Abu Bakar (Abu Mamu) yang menuduh Awesome TV gagal melunaskan bayaran bagi penglibatan mereka dalam program-program televisyen disiarkan di syarikat mereka.

Pihak Awesome TV menjelaskan, sebarang urusan kontrak serta pembayaran artis adalah tanggungjawab penuh pihak produksi berkenaan.

Lebih mengejutkan, isu ini turut dibawa ke Parlimen oleh Syerleena Abdul Rashid (Ahli Parlimen Bukit Bendera) tanpa sebarang pemeriksaan dan fakta yang lebih teliti, sekali gus mengundang salah faham dan memberi gambaran yang tidak tepat.

“Sebagai ahli Parlimen, beliau sepatutnya berlaku adil menyiasat fakta sebelum mengeluarkan kenyataan yang tidak benar,” katanya lagi.

Awesome TV telah melantik firma guaman Shafie & Co untuk memfailkan saman berunsur fitnah terhadap mereka bagi melindungi integriti.

“Kami memandang serius sebarang tuduhan yang tidak berasas dan sebarang usaha untuk mencemarkan nama baik,” katanya sambil komited untuk menyediakan kandungan berkualiti kepada rakyat Malaysia dan akan terus mempertahankan hak serta reputasinya melalui saluran undang-undang yang sewajarnya.

Baru-baru ini pelawak Amir Raja Lawak meluahkan rasa kesal terhadap pengurusan sebuah stesen televisyen yang masih belum melangsaikan tunggakan hutang berjumlah RM18,000 sejak tiga tahun lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast