KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, Datuk Mohd Imran Tamrin mengecam kenyataan bekas Exco Selangor, Datuk Teng Chang Khim yang didakwa menggunakan perkataan “anjing liar” terhadap Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Saleh.
Ketua Pemuda UMNO Selangor itu turut menyifatkan kenyataan itu sebagai keterlaluan, tidak bertanggungjawab dan memalukan, apatah lagi ia datang daripada seorang mantan ADUN Selangor, bekas Speaker Dewan Negeri serta bekas Exco Kerajaan Negeri.
“Kenyataan yang dikeluarkan oleh Datuk Teng Chang Khim dengan menggunakan perkataan ‘anjing liar’ terhadap Dr. Akmal Saleh adalah keterlaluan, tidak bertanggungjawab serta memalukan yang datang dari seorang mantan Ahli Dewan Negeri Selangor, Speaker Dewan Negeri dan Exco Kerajaan Negeri,” katanya.
Kenyataan itu respons kepada hantaran Chang Kim di Facebook miliknya yang mempersenda tindakan Akmal mempertahankan isu bendera sebagai taktik murahan untuk meraih perhatian rakyat menjelang pilihan raya umum akan datang.
Menurut Mohd Imran, tindakan Chang Kim tersebut mencerminkan pemikiran yang sempit dan keji yang wajar diberikan pengajaran sewajarnya agar tidak berulang dan menjadi budaya politik generasi masa kini.
“Lebih baik berehat dan berdiam diri daripada dunia politik dan tidak mencampuri dengan perangai dan pemikiran buruk dan jelik seperti ini.
“Saya secara tegas menggesa Chang Khim memohon maaf secara terbuka dan menarik balik ucapan beliau itu,” ujarnya lagi.
Beliau turut menegaskan, kenyataan tersebut berkemungkinan besar melanggar undang-undang mengikut pindaan Kanun Keseksaan baharu-baru ini, termasuk di bawah Seksyen 507B dan 507C.
“Oleh itu, saya menggesa DAP Selangor dan DAP Pusat mengambil tindakan tegas terhadap Teng Chang Khim,” tegasnya.
Semalam, Akmal menyelar kenyataan Chang Kim yang menyindirnya sebagai ‘anjing liar’ kerana membangkitkan isu penghinaan terhadap bendera Malaysia.
Menurut Akmal, tindakan mempertahankan lambang negara tidak sepatutnya dijadikan bahan ejekan atau sindiran oleh mana-mana pihak termasuk pemimpin veteran.
Beliau berkata, apabila tiada lagi hujah untuk mempertahankan penghinaan terhadap bendera, ada pihak mula menyerang peribadi dengan gelaran melampau seperti ‘anjing liar’.
“Inilah perangai pemimpin mereka. Bila kita pertahankan lambang bendera Malaysia dan tiada lagi isu yang mereka boleh bangkitkan, akhirnya kita pula dituduh sebagai ‘anjing liar’.
“Bukan hanya yang muda sahaja yang bersikap dangkal, pemimpin senior pun rupa-rupanya sama sahaja,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya semalam. – MalaysiaGazette
















