Datuk Teng Chang Khim

 

KUALA LUMPUR – Perang mulut di media sosial antara bekas Exco Selangor, Datuk Teng Chang Khim dan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh berhubung isu Jalur Gemilang terbalik masih belum reda.

Terbaharu, Chang Khim dalam hantaran di Facebook mempersoalkan sikap UMNO yang menurutnya sebelum ini tidak mengambil serius kesilapan pada Jalur Gemilang ketika parti itu menjadi tonggak kerajaan.

“Zaman UMNO jadi tonggak kerajaan, bendera skala tak betul, bintang bulan dipotong, jalur tidak cukup bilang. Tak apa, itulah logo. Lagi pun, itu zaman UMNO,” tulisnya.

Kenyataan Chang Khim ini merujuk penggunaan Jalur Gemilang dalam grafik kempen dan insiatif yang dibuat semasa Kerajaan Barisan Nasional.

Kenyataan itu dipercayai sebagai respons kepada desakan Akmal sebelum ini agar tindakan tegas dikenakan terhadap sebuah sekolah di Port Dickson selepas insiden pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik.

Dalam kenyataan berasingan, Chang Khim mendakwa, apabila Pas buat silap tentang bendera dan membuat permohonan maaf, mereka dimaafkan.

Begitu juga apabila pegawai Kementerian Pendidikan melakukan kesilapan sama kerana kesalahan itu dianggap tidak sengaja.

“Bila pekerja sekolah SJK C)buat silap tentang bendera, mohon maaf, dituduh seluruh kaum Cina tidak patriotik.

“Kalau itu politiknya, bukan sahaja undi Cina lari, undi Melayu pun lari,” ujarnya.

Sebelum ini, Akmal mempersoalkan mengapa pihak sekolah di Port Dickson membenarkan seorang pekerja orang kurang upaya (OKU) memasang bendera tanpa pengawasan sehingga menyebabkan kesilapan itu berlaku.

Tindakan itu mengundang kritikan banyak pihak yang berpendapat Akmal tidak sensitif terhadap golongan OKU, selain kesilapan itu telah pun diperbetulkan pihak sekolah.

Chang Khim yang juga bekas Speaker DUN Selangor sebelum ini lantang mengkritik Akmal dengan menuduh Ketua Pemuda UMNO itu sengaja membesar-besarkan isu kecil demi keuntungan politik.

Isu tersebut menjadi semakin panas apabila beberapa hari lalu Chang Khim menggelar Akmal sebagai “anjing liar” yang menurutnya gemar membesar-besarkan isu kecil demi kepentingan politik.

Insiden Jalur Gemilang terbalik itu mula tular awal minggu ini dan mencetuskan pelbagai reaksi daripada pemimpin politik, aktivis dan warganet, malah ada yang menganggap ia telah dijadikan modal politik menjelang pilihan raya negeri.

Sehingga kini, kedua-dua pemimpin berkenaan dilihat masih aktif membalas kenyataan di media sosial masing-masing tanpa tanda-tanda mahu meredakan ketegangan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast