Norhayati Bidin

JOHOR BAHRU – Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu menyampaikan perkembangan kes kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir secara telus dan segera selepas dikaitkan dengan dakwaan insiden buli.

Ketua Angkatan Wanita Amanah (Awan) Negeri Johor, Norhayati Bidin berkata, keterbukaan maklumat amat penting bagi mengelakkan sebarang tohmahan, spekulasi dan ketidakpercayaan terhadap integriti pentadbiran Kerajaan Madani.

Tegasnya, pihak berkuasa didesak mengambil tindakan lebih tegas dan pantas terhadap pelakunya yang perlu segera didakwa sekiranya terbukti bersalah.

“Ini bagi memberi mesej jelas bahawa penderaan dan pengabaian terhadap anak-anak dan remaja tidak akan dikompromi dalam negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, budaya buli dan keganasan dalam kalangan pelajar semakin membimbangkan bukan sahaja mencederakan secara fizikal malah memberi kesan emosi yang mendalam.

“Awan Johor menegaskan budaya ini perlu dihentikan segera dan pihak sekolah serta komuniti harus memainkan peranan yang lebih aktif dalam pencegahan dan intervensi awal.

“Kami menyeru seluruh masyarakat untuk terus mendidik diri tentang hak kanak-kanak dan remaja serta memperkukuhkan nilai kasih sayang dan empati dalam institusi keluarga dan komuniti,” ujarnya.

Awan Johor juga melahirkan rasa dukacita yang mendalam terhadap tragedi menimpa Allahyarhamah yang menjadi mangsa dalam kes amat menyentuh hati nurani seluruh rakyat Malaysia.

Pihaknya juga menyatakan solidariti penuh terhadap keluarga Allahyarhamah dan berharap agar siasatan yang dijalankan dapat membawa keadilan kepada mangsa secepat mungkin.

“Kami turut ingin menekankan peri pentingnya peranan ibu bapa untuk sentiasa peka terhadap keluhan dan luahan anak-anak. Kepercayaan dan komunikasi dalam keluarga mesti dibina supaya anak-anak merasa selamat dan terbuka untuk berkongsi perasaan serta sebarang bentuk kesulitan yang mereka hadapi,” tambahnya.

Pelajar Tingkatan Satu itu sebelum ini dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sebuah sekolah agama di Papar, Sabah pada 16 Julai lalu dan disahkan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI).

Kematian remaja tersebut mencetuskan reaksi meluas, terutama dalam media sosial, susulan dakwaan kejadian buli di sekolah berkenaan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast