KUALA LUMPUR – Tindakan bekas Exco Selangor, Datuk Teng Chang Khim yang melabelkan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Salleh dengan panggilan ‘anjing liar’ hanya menjejaskan imej politik matang dan beradab.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Subang, Datuk Seri Fariz Hazurin Ismail berkata, lebih mengecewakan bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor itu lebih gemar untuk menghina dan merendahkan maruah orang.
“Jika mempertahankan maruah Jalur Gemilang dianggap ‘anjing liar’, maka rakyat boleh menilai siapa sebenarnya yang sedang berkeliaran tanpa arah, menggigit sesiapa sahaja tidak sehaluan dengan agenda politiknya.
“Ia bukan sahaja biadab, bahkan mencerminkan mentaliti seorang pemimpin yang kehabisan hujah hingga terpaksa melontarkan penghinaan peribadi,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan Chang Khim yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Selangor menggelar Dr Akmal ‘berperangai seperti anjing liar’ dalam hantaran yang kini dipercayai sudah dipadam dari akaun Facebook miliknya.
Hantaran Chang Khim itu dipercayai merujuk kepada kenyataan Dr Akmal yang juga ADUN Merlimau meminta agar pemimpin Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) yang mengkritik beliau turut diberikan status OKU.
Kenyataan itu dibuat sebagai maklum balas kepada Penolong Setiausaha DAPSY, Edmund Lim yang mengecam Dr Akmal berhubung Jalur Gemilang dipasang terbalik di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di Port Dickson, Negeri Sembilan.
Fariz yang juga Exco Pergerakan Pemuda UMNO berkata, politik adalah medan pertarungan idea, bukannya lesen untuk menghalalkan perbuatan menghina pihak lain dengan kata-kata kesat.
“Perbezaan pandangan adalah perkara biasa dalam demokrasi, namun ia harus dibahaskan secara berhemah, berfakta dan saling menghormati.
“Kata-kata penghinaan tidak mengangkat maruah sesiapa, malah menjatuhkan wibawa orang yang mengucapkannya,” katanya.
Menurut Fariz, tindakan itu juga boleh memberi contoh buruk kepada generasi muda yang sedang memerhati cara pemimpin menangani perbezaan pendapat.
“Kita faham, bila hujah sudah kering, bahasa kesat jadi pilihan.
“Tapi saya yakin rakyat boleh menilai antara siapa yang benar-benar berjuang untuk negara dan siapa yang sekadar menyalak di media sosial demi perhatian politik,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa Chang Khim untuk menarik balik kenyataan tersebut dan membuat memohon maaf secara terbuka kepada Dr. Akmal.
“Jika tidak, biarlah kenyataan ini menjadi bukti kepada generasi akan datang bahawa inilah contoh seorang pemimpin yang gagal membezakan antara perdebatan sihat dengan serangan peribadi murahan,” katanya.
Katanya, UMNO bersama rakyat Malaysia akan terus mempertahankan maruah Jalur Gemilang tanpa gentar terhadap sebarang cubaan untuk membisukan tindakan penghinaan kedaulatan negara.
“Perbezaan pandangan tidak pernah menghalalkan penghinaan. Kita boleh berdebat, tetapi biarlah dengan hujah, bukan dengan caci-maki.
“Jika mempertahankan bendera negara ini membuatkan kami digelar ‘anjing liar’, maka biarlah kami terus menyalak demi maruah Malaysia,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















