PUTRAJAYA – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memeriahkan sambutan Bulan Kebangsaan dengan menganjurkan Program Semarak Jiwa Merdeka yang berlangsung penuh warna-warni di perkarangan kementerian itu hari ini.
Majlis berkenaan disempurnakan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming yang turut merakam penghargaan kepada warga kementerian serta agensi di bawahnya, termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), atas penglibatan mereka menjayakan program tersebut.
Kor Ming berkata, semangat cintakan negara perlu sentiasa disuburkan dalam jiwa rakyat dan tidak hanya terhad kepada bulan Ogos.
“Hari ini kita melihat semangat patriotik luar biasa daripada seluruh warga KPKT yang hadir daripada pelbagai jabatan dan agensi.
“Semangat cintakan tanah air perlu dipupuk setiap hari bukan hanya pada bulan kemerdekaan. Malaysia Madani menuntut rakyatnya bersatu, berkhidmat dengan jujur, ikhlas dan berintegriti,” katanya ketika sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Semarak Jiwa Merdeka @ KPKT di sini hari ini.
Menurut beliau, KPKT berasa bersyukur apabila dinobatkan sebagai kementerian berprestasi paling tinggi tahun lalu serta menerima Anugerah Pembangunan Negara, membuktikan komitmen tinggi dalam menyampaikan khidmat kepada rakyat.
“Kita akan terus memperhebat usaha, bukan sahaja mempertahankan pencapaian, tetapi meningkatkan lagi mutu perkhidmatan untuk rakyat dan negara,” ujarnya.
Beliau menambah, di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), KPKT diberi mandat menerajui dua agenda utama negara iaitu Reformasi Perumahan dan Reformasi Pembersihan Awam.
Antara inisiatif dirancang termasuk membina sejuta rumah mampu milik dalam tempoh 10 tahun, memperkenalkan pembersihan waktu malam, penggunaan lori sampah elektrik (EV), pelaksanaan sistem kitar semula dan peningkatan kadar kutipan sampah.
“Kita mahu setiap rakyat memiliki rumah mampu milik yang berdaya huni dan pada masa sama kebersihan negara diberi keutamaan,” jelasnya.
Program Semarak Jiwa Merdeka turut diserikan dengan pelbagai aktiviti patriotik yang mendapat penyertaan aktif warga kementerian, sekali gus menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan 2025. – MalaysiaGazette
















