Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP, Sheikh Umar Bagharib Ali.

JOHOR BAHRU – Perang mulut antara Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh dan pemimpin muda dan veteran DAP yang awalnya berkenaan pemasangan bendera terbalik kini didakwa semakin mengarut sehingga mencaci antara satu sama lain.

Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, kedua-dua pihak sudah tersasar daripada tumpuan isu sebenar sebaliknya menjadi medan serang menyerang antara satu sama lain.

“Sebenarnya, perang mulut ini sudah melalut. Takda substance lagi. Jika ada pun, bukan lagi dibincang secara matang. Tetapi emosi, sensasi dan entah apa-apa lagi. Sebenarnya mudah sahaja.

“Biar pihak berwajib jalankan siasatan dan ambil tindakan.Tapi sayang, inilah politik kita. Akmal perlu maki DAP. DAP pun reply. Pihak sana main lagi, pihak sini sambung tibai.

“Mula-mula nampak isu penting, lama kelamaan jadi ke laut. Entah apa-apa, rakyat kat bawah, tak bawa (dapat) untung tak rugi. Tengok kelakuan orang politik ‘bergusti’ perkara macam ni.

“Dari isu beralih kepada populariti. Populariti murahan dengan maki memaki. Sepatutnya kita bincang dasar. Bincang polisi,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, rakyat yang memerhatikan pertelingkahan itu tidak mendapat apa-apa manfaat yang pada mulanya isu tersebut dipandang serius tetapi berakhir seperti ‘persembahan’ dalam sarkis.

Justeru katanya yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, perang mulut antara kedua-dua pihak yang tidak berkesudahan itu perlu dihentikan.

Semalam Dr Akmal menyelar kenyataan bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Teng Chang Kim yang menyindirnya sebagai ‘anjing liar’ kerana membangkitkan isu penghinaan terhadap bendera Malaysia.

Menurut Dr Akmal, tindakan mempertahankan lambang negara tidak sepatutnya dijadikan bahan ejekan atau sindiran mana-mana pihak termasuk pemimpin veteran.

Beliau berkata, apabila tiada lagi hujah untuk mempertahankan penghinaan terhadap bendera, ada pihak mula menyerang peribadi dengan gelaran melampau seperti ‘anjing liar’.

Terdahulu, Chang Kim dalam satu hantaran dalam Facebook miliknya mempersenda tindakan Dr Akmal mempertahankan isu bendera sebagai taktik murahan untuk meraih perhatian rakyat menjelang pilihan raya umum akan datang.

Isu penghinaan terhadap Jalur Gemilang tercetus selepas tular tindakan segelintir individu mengibarkan bendera Malaysia secara terbalik termasuk di premis perniagaan dan kediaman.

Dr Akmal sebelum ini lantang mengecam tindakan tersebut dan mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan tegas agar maruah negara tidak dipermainkan.

Kemudian pemimpin Pemuda DAP (DAPSY) yang tidak bersetuju dengan tegurannya sebelum Dr Akmal sebelum memuat naik sindiran tajam kepada pihak terbabit yang dianggap gagal memahami asas patriotisme dan tanggungjawab terhadap simbol negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast