Tangkap layar video yang tular memaparkan seorang lelaki mengutip mulut seorang wanita warga emas ketika samun di Kampung Melayu, Simpang Renggam, Kluang, semalam.

KLUANG – Polis memburu suspek kes samun terhadap seorang wanita warga emas berusia lingkungan 90-an di sebuah rumah di Jalan Melati, Kampung Melayu, Simpang Renggam di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, laporan mengenai kejadian diterima pada pukul 4.02 petang kelmarin.

Beliau memberitahu, siasatan kes dilakukan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

“Usaha mengesan suspek masih diteruskan dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan. Maklumat boleh disalurkan ke mana-mana balai polis berhampiran atau terus menghubungi IPD Kluang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rakaman video tular berdurasi dua minit 50 saat itu menunjukkan suspek berpakaian baju biru gelap masuk ke dalam rumah dan menyelongkar ruang tamu untuk mencari barang berharga termasuk wang tunai.

Semasa kejadian, wanita warga emas itu sedang makan dan dia dipercayai tinggal seorang diri di rumah berkenaan.

Perbuatan suspek yang mengarahkan mangsa terus makan dan tidak bangun itu dirakam melalui kamera litar tertutup yang dipasang dalam rumah berkenaan turut tular di media sosial.

Mangsa juga dilihat menjerit meminta pertolongan selepas suspek merampas wang dalam dompetnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast