Poster terbaru senarai ta yang an filem ‘Coolie’ seluruh Malaysia yang dikeluarkan hari ini. GSC tidak tersenarai dalam senarai ini.

KUALA LUMPUR – Fenomena filem ‘Coolie’ lakonan legenda Rajinikanth terus membara di Malaysia apabila jualan awal tiket mencatat lebih 55,000 unit hanya dalam beberapa hari sejak pra-jualan dibuka, menurut Malik Streams Corporation

Filem arahan Lokesh Kanagaraj itu dijadualkan menemui penonton pada 14 Ogos depan dan bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara termasuk dalam format IMAX, D-Box dan 4DX.

Menurut Pengarah Urusan Malik Streams, Datuk Abdul Malik Dasthigeer yang memperoleh hak tayangan eksklusif di Malaysia pada harga RM6 juta, yakin sambutan ini akan melonjak kutipan box office tempatan sehingga mencecah RM60 juta.

“Kami sudah jangka sambutan hangat, tetapi angka pra-jualan ini melebihi jangkaan awal. Aura Rajinikanth di Malaysia memang luar biasa dan kami percaya tayangan rasmi nanti akan mencatat sejarah baharu,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Datuk Abdul Malik Dasthigeer.

Menurutnya, kempen promosi besar-besaran sedang berjalan menjelang tayangan, termasuk acara bersama peminat yang dijangka menarik ribuan pengunjung.

Katanya, Coolie bukan sekadar sebuah filem, tetapi sebuah acara hiburan berskala besar yang menyatukan komuniti peminat dari seluruh negara.

Coolie menampilkan Rajinikanth sebagai Deva, seorang bekas penyeludup emas yang kembali ke dunia gelap itu dengan bantuan teknologi rahsia dalam jam tangan vintaj.

Filem ini turut dibintangi pelakon hebat seperti Nagarjuna, Shruti Haasan, Sathyaraj, dan Upendra, dengan muzik disusun oleh Anirudh Ravichander.

Sebagai tambahan istimewa, tayangan Coolie akan memaparkan video penghargaan sempena ulang tahun ke-50 perjalanan seni Rajinikanth, menjadikan filem ini sarat dengan nilai nostalgia untuk peminat lama dan pengalaman penuh aksi untuk penonton baharu.

Dengan momentum jualan yang terus meningkat dari hari ke hari, Coolie berpotensi mencatat rekod kutipan pembukaan tertinggi bagi filem India di Malaysia.

Bagi peminat ‘Superstar’, detik hitung ke 14 Ogos ini bukan sekadar tarikh tayangan ia adalah perayaan terhadap warisan dan kehebatan Rajinikanth di layar perak. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast