Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – “Cukup-cukuplah, jangan lagi percaya janji Israel,” tegas seorang peserta Himpunan Malaysia Bangkit Untuk Gaza di Dataran Merdeka di sini malam ini.

Fatimatuzzahra Abdul Rahman, 46, yang sanggup datang dari Kedah ke ibu kota untuk menyuarakan bantahan terhadap kekejaman rejim Zionis.

Fatimatuzzahra Abdul Rahman,46.

Beliau berkata, keputusan Kabinet Israel pada 8 Ogos lalu untuk memaksa rakyat Palestin meninggalkan Gaza sebelum 7 Oktober 2025 jelas menunjukkan niat jahat mereka menghapuskan penduduk asal wilayah itu.

“Kalau selepas tarikh itu masih ada rakyat Palestin di Gaza, mereka akan serang dan bunuh habis-habisan. Siapa mereka untuk menghalau orang di tanah sendiri? Hamas bukan pengganas, Hamas adalah pembela kemanusiaan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.

Menurutnya, lima syarat yang ditetapkan Israel bagi menamatkan perang adalah helah untuk melemahkan Hamas dan menguasai Gaza sepenuhnya termasuk pelucutan senjata, memulangkan tebusan tanpa syarat balas, demilitarisasi Semenanjung Gaza, kawalan keselamatan oleh tentera Israel, dan mewujudkan kerajaan boneka yang bukan Hamas atau Fatah.

“Israel ini pembohong, gencatan senjata hanya digunakan untuk beli masa dapatkan senjata. Apabila sudah bersedia, mereka langgar janji.

“Saya merayu kepada kerajaan Malaysia supaya jangan ikut langkah negara Arab yang mendesak Hamas meletakkan senjata,” katanya.

Fatimatuzzahra turut membidas sikap negara-negara Islam yang berdiam diri malah menyekat bantuan kepada Gaza sedangkan rakyat Palestin berdepan kekejaman setiap hari.

Ibrahim Fikri Abdul Nasir, 32.

Sementara itu, seorang lagi peserta, Ibrahim Fikri Abdul Nasir, 32, berkata, kehadirannya ke perhimpunan kali ini kerana merasai  kesengsaraan rakyat Palestin dan menyatakan sokongan tanpa henti kepada perjuangan mereka.

“Kesedaran adalah perkara paling penting jika kita mahu membebaskan tanah Palestin. Kalau kita berhenti memberi sokongan, perjuangan akan hilang momentum. Sebab itu kita perlu terus turun,” katanya.

Ibrahim Fikri berkata, penyertaan pelbagai lapisan masyarakat dalam himpunan itu membuktikan keprihatinan rakyat Malaysia terhadap penderitaan rakyat Palestin.

“Walaupun kita datang daripada latar belakang berbeza, hati kita tetap bersatu untuk menuntut keadilan dan menolak kezaliman,” ujarnya.

Beliau menambah, sokongan yang dizahirkan ini diharap dapat memberi semangat kepada rakyat Palestin bahawa perjuangan mereka tidak pernah dilupakan.

“Kita mungkin jauh dari bumi Gaza namun suara kita akan terus bergema demi membela nasib mereka yang tertindas,” katanya lagi.

Azura Shahdan, 46.

Seorang lagi peserta, Azura Shahdan, 46, pula menegaskan, Palestin adalah isu kemanusiaan yang semakin diabaikan oleh masyarakat dunia.

“Kita di Malaysia mungkin tak terasa sangat kesan perang di sana tetapi sebagai manusia kita patut lebih vokal. Paling tidak, kita boleh tingkatkan kesedaran dalam kalangan rakyat Malaysia,” ujarnya.

Azura berharap media tempatan membesarkan liputan mengenai Palestin dan rakyat pula berani bersuara sekiranya kerajaan mengambil tindakan yang dilihat menyokong Israel.

“Israel ada banyak syarikat yang masih masuk pasaran kita walaupun kita tak mengiktiraf negara itu. Jihad kecil yang kita boleh buat ialah bercakap tentang Palestin dan memboikot syarikat yang menyumbang keuntungan kepada rejim Zionis,” katanya.

Himpunan anjuran Sekretariat Humanity 4 Gaza (H4G) yang dijadual berakhir jam 11.00 malam itu turut menampilkan persembahan kumpulan nasyid Far East dan Rabbani, persembahan anak-anak Palestin serta ucapan tokoh masyarakat sivil. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Kira-kira 2,000 hadir ke di Dataran Merdeka pamer solidariti untuk Gaza

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast